CHINA: Seorang lelaki yang hendak naik kereta api di Stesen Kereta Api Beijing Barat berkelakuan luar biasa apabila sampai ke tempat pemeriksaan keselamatan.

Dia terus masuk ke mesin sinar-x tempat meletak barangan supaya dirinya dapat diperiksa tanpa perlu membuka kot dan mengeluarkan barangan dari dalam poket pakaiannya.

Rakaman video dari CCTV stesen tersebut menunjukkan seorang lelaki memakai kot labuh berjalan menuju ke tempat pemeriksaan.

Tanpa membuka kotnya dia terus merangkak masuk ke dalam mesin itu sebelum dapat dihalang oleh sesiapa.

Menurut seorang pegawai keselamatan di situ, lelaki itu memakai baju tebal dan merasakan dia akan mengambil masa terlalu lama untuk membuka semua pakaian dan barang peribadinya.

Sebaik sahaja melihat lelaki itu merangkak masuk, pihak keselamatan terus menutup butang mesin sinar-x.

Lelaki itu dan isterinya dalam perjalanan ke kampung halaman mereka sempena Festival Musim Bunga.