Sarawakku Sayang temui rakyat

0
18

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menganjurkan Program Sarawakku Sayang selama dua hari di Kota Samarahan Open Square (Dataran Terbuka) berdekatan Dewan Suarah pada 12 hingga 13 Januari 2020.

Ia merupakan satu peluang bagi orang awam sekitar Kota Samarahan, Simunjan, Kuching, Serian, Bau dan kawasan sekitarnya yang lain untuk mendapatkan akses tentang khidmat kerajaan, maklumat dan khidmat nasihat daripada agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat berkenaan dengan pelbagai perkara.

Program ini juga bakal mempamerkan lebih daripada 100 booth yang menawarkan pelbagai khidmat kerajaan, pameran, jualan produk tempatan, aneka makanan dan minuman, persembahan pentas dan juga cabutan bertuah untuk para pengunjung.

Program akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Johari Tun Openg pada Isnin, 13 Januari.

Program Sarawakku Sayang adalah salah satu strategi Kerajaan Sarawak untuk terlibat secara dekat bersama rakyat dengan kaedah turun padang kerana ianya bertindak sebagai pusat setempat untuk mereka mendapatkan akses secara langsung bagi khidmat dan produk, khidmat nasihat dan lain-lain aktiviti.

Selain itu, orang awam akan didedahkan dengan pelbagai inisiatif Ketua Menteri dan fasa perkembangan dalam pembangunan yang telah dijalankan oleh Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan sosioekonomi dan taraf hidup rakyat.

Melalui program ini, kerajaan juga dapat mengukuhkan hubungan baik dan kerjasama antara rakyat.

Bagi pengemar makanan pula, jangan terlepas peluang untuk menikmati aneka makanan dan minuman tempatan yang boleh didapati di Sarawak Kitchen.

Manakala, bagi pengunjung bertuah yang datang, mereka berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperi peti ais, mesin basuh, mountain bike, telefon pintar, barangan elektrik dan hamper.

Sementara itu, penyanyi terkenal tanah air seperti Jay Jay (Rindu Bayangan), Andy Bernadee (Donde) dan Fieya Julia (Perasaanku) bakal menghiburkan orang ramai di sebelah petang pada 12 Januari manakala Ricky Andrewson dan Siti Nordiana akan menghiburkan pengunjung pada pagi 13 Januari.