SRI AMAN: Genap seminggu sudah larangan merokok dikuatkuasakan di semua premis makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan secara umumnya, rakyat Malaysia memberikan kerjasama yang baik bagi mematuhi larangan merokok ini.

Tinjauan di beberapa buah kedai kopi sekitar Bandar Simanggang menunjukkan reaksi positif dalam kalangan perokok kerana rata rata yang ditemui menyifatkan peraturan tersebut sebagai satu langkah menjadikan mereka lebih berdisiplin.

Seorang perokok, Saifudin Lebey, 51, bersetuju dengan arahan larangan merokok di premis makanan dan berpuas hati apabila pengunjung kedai kopi di mana beliau bersarapan pagi ini menghormati peraturan yang ditetapkan seperti dipetik Malaysia Aktif.

“Saya lihat baguslah pagi ini arahan larangan merokok di premis makanan dipatuhi dan saya berpuas hati, memandangkan saya bukan perokok tegar, sekali sekala sahaja saya merokok.

“Mungkin dengan adanya peraturan seperti ini, saya dan perokok lain akan berhenti merokok terus,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai kopi di sekitar Sri Aman.

Bagi Baharudin Karim, 35, larangan itu tidak menjadi masalah kerana dia selama ini merokok jauh dari gerai makan kerana tidak mahu orang ramai termasuk anak-anak kecil dan orang tua menghidu asap rokok.

“Saya sebelum ini memang akan pergi jauh sedikit daripada orang lain yang tidak merokok. Saya harap perokok lain juga akan ikut dan patuhi larangan ini,” katanya.

Dalam pada itu menurut Malaysia Aktif, warga tempatan Arip Abong, 44, berkata beliau bersetuju dengan tindakan kerajaan tersebut.

“Saya setuju dengan tindakan kerajaan ini dan ia satu idea yang bagus kerana kadang-kadang asap rokok dari pengunjung yang merokok menyebabkan ketidakselesaan pengunjung yang menjamu selera dan hilang rasa menikmati makanan.

“Kalau hendak merokok, pergi ke satu tempat yang dikhaskan untuk merokok dan lebih baik jangan merokok di tempat pengunjung lain sedang menjamu selera kerana boleh menghilangkan selera mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau menyokong tindakan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan membuka platform dalam talian untuk orang awam melapor mana-mana perokok yang tidak mematuhi peraturan ini.