MUKAH: Baru–baru ini, Biro Sukan di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Teh Labak telah mengadakan Hari Sukan Keluarga Teh Labak Edisi 1.

Sukan ini telah berlangsung selama dua hari bermula di perkarangan Rumah Wanita, dan juga di Balairaya, Teh Labak.

Aktiviti sukan ini adalah julung kali diadakan semula semenjak tahun 2014, telah mendapat sambutan yang amat luarbiasa daripada lebih 200 peserta, yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan jantina.

Menurut Ketua Kaum (KK) JKKK Teh Labak, Daniel bin Raping, sukan ini telah berjaya menarik penyertaan daripada hampir kesemua penduduk kampung setempat, dan juga daripada penduduk yang tinggal di luar kawasan.

“Saya berasa amat gembira dan teruja dengan sambutan sukan ini, sehinggakan mereka yang menetap di luar kawasan, juga sanggup untuk datang ke sini semata – mata untuk merasai kehangatan aktiviti yang diadakan.” katanya kepada para hadirin sebelum melepaskan peserta acara Rentas Desa sebagai simbolik perasmian upacara dua hari tersebut.

KK Daniel bin Raping mengucapkan setinggi – tinggi tahniah kepada semua yang bertungkus lumus dalam menjayakan aktiviti sukan tersebut, terutama kepada pihak Biro Sukan dan Biro Keselamatan.

“Akhir kata, semoga ini akan menjadi titik tolak loncatan kemajuan kampung Teh Labak pada masa kini dan masa depan.” tambahnya sebagai menyimpulkan ucapan tersebut.