BINTULU: Dua lelaki rentung dalam kebakaran membabitkan kantin pekerja Usaha Estet, Jalan Pesisir Bintulu, malam semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya berkata kedua- dua mangsa berbangsa Cina dan dikenali sebagai Wong Ling Poung berumur 47 tahun dan Lee Hua Hing berusia 23 tahun.

Dua jentera bomba dengan kekuatan sepuluh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu diketuai PBKII Stephen Bin Plen dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.05 malam.

Kerja- kerja memadam kebakaran turut mendapat bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju diketuai PBK II Mohd. Alimun.

Kedua- dua mangsa dijumpai ketika pihak bomba melakukan proses pemadaman dengan seorang mangsa dijumpai di dalam bilik tidur manakala seorang lagi dijumpai berdekatan dengan kaunter pembayaran dalam keadaan rentung.

Kedua dua mangsa, kemudiannya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan pihak Bomba.