Setiausaha Tetap baharu Kementerian Pendidikan Sarawak mulai galas tugas

0
27

KUCHING:  Kameri Affandi dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak yang baharu bagi menggantikan Datuk William Patrick Nyigor.

William Patrick Nyigor yang bertugas sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak sejak 7 Januari 2019 kini sudah bersara dan tugas tersebut kini digalas oleh Kameri Affandi.

Majlis serah terima tugas antara bekas William Patrick Nyigor kepada Kameri Affandi telah disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Berucap ringkas dalam majlis itu, Manyin memberitahu, pendidikan merupakan agenda penting untuk memastikan kemajuan Sarawak pada masa depan.

Jelasnya, aspek pendidikan di negeri ini perlu mencapai tahap kecemerlangan tinggi dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti.

Tambahnya, pelbagai pihak perlu memainkan peranan dan memberikan komitmen bagi memastikan agenda pendidikan negeri ini tercapai.