Miri tuan rumah Majlis Tilawah, menghafaz al-Quran

0
15

MIRI: Bahagian Miri telah dipilih sebagai tuan rumah kepada penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1441H/2020M yang akan diadakan pada 13 hingga 16 Januari ini.  

Majlis Islam Sarawak (MIS) berkata program anjuran Kerajaan Sarawak ini akan diadakan di Dewan Suarah Miri bagi menyemarakkan lagi semangat cinta Umat Islam kepada Al-Quran sekali gus melahirkan qari dan qariah yang berkaliber di negeri ini.  

“Bertemakan ‘Ummah Gemilang’, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak kali ini merupakan tahun kedua diadakan secara serentak selepas penganjuran pertamanya pada tahun 2019. 

“Majlis menghafaz Al-Quran akan diadakan pada 14 hingga 15 Januari  bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari manakala majlis tilawah al-Quran akan bermula jam 8.00 malam mulai 13 hingga 16 Januari,” katanya dalam satu kenyataan media.  

Seramai 22 peserta terdiri daripada 11 qari dan 11 qariah akan menyertai majlis tilawah itu. 

Turut diadakan kuiz al-Quran, Jom Ngaji Belagu Ngan Dato Ismawi Duet, pameran teks dan bahan al-Quran, jualan dan pameran serta kolokium al-Quran.

Sementara itu, kenyataan tersebut juga menjelaskan bagi menghafaz al-Quran pula, penyertaan para huffaz lelaki dan wanita dipertandingkan mengikut tiga kategori iaitu pertama, kedua dan ketiga.

“Kategori pertama untuk bacaan juzuk 1 hingga 10 (lima lelaki  dan lima wanita) kategori kedua untuk juzuk 1 hingga 20 (lima lelaki dan empat wanita) dan kategori Ketiga untuk juzuk 1 hingga 30 (lima lelaki),” ujarnya.  

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari dijangka merasmikan majlis itu pada 13 Januari dan majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 16 Januari nanti. 

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bersama keluarga bagi menghayati bacaan ayat-ayat suci al-Quran.