KUCHING: Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris meminta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar jangan syok sendiri di Facebook sahaja sebaliknya lihatlah kepada realiti.

Ini susulan tindakan menteri paling muda dan kurang berpengalaman itu memuat naik satu kenyataan di Facebooknya.

Dalam kenyataan itu Syed Saddiq menyatakan dia masuk politik bukan untuk kuasa tetapi untuk berkhidmat.

“Politik itu bagaikan roda. Sekejap di atas sekejap di bawah. Yang sentiasa di atas ialah rakyat,” kata beliau.

Katanya lagi: “Selagi hati dan niat berada di tempat yang betul. Insya-Allah semua akan berjalan lancar,” katanya.

“Saya lebih suka lawatan rumah ke rumah. Fahami masalah dan berusaha untuk selesaikan,’ katanya.

Pemimpin Umno itu menyifatkan kenyataan Syed Saddiq sebagai satu drama.

“Dah mula drama Syed Saddiq yang kita tunggu-tunggu. Anak muda ini pandai berlakon dan pura-pura di media sosial untuk menarik hati netizen.

“Realitinya penuh pembohongan. Jika bukan kerana kuasa politik mengapakah YB Syed Saddiq mengamalkan ‘patronage politic’ dengan melantik 13 anggota Pemuda PPBM sebagai pegawai penyelaras sukan di bawah kementeriannya?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Kedua, katanya, apakah status siasatan pemberian kontrak bernilai RM7 juta kepada sebuah syarikat membabitkan tiga IKBN berkenaan?

Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

“Apakah jaminan kepada anak muda untuk mendepani arus pemodenan yang semakin mencabar? Kadar pengangguran dan masalah kemiskinan masih tidak berubah,” katanya.

“Yang diatas hanyalah menteri dan lantikan politiknya. Rakyat dibawah semakin sengsara ditekan rejim PH.

Untuk itu, Dr Najmil menasihati Saddiq supaya tidak syok sendiri di media sosial.

“Pandanglah realiti YB Menteri. Jangan syok sendiri di Facebook sahaja,” nasihat beliau kepada Syed Saddiq yang diberi penarafan teruk oleh rakyat  dalam kajian Malaysiakini baru-baru ini.