Timbalan Naib Canselor: Kembalikan jawatan Pengerusi Unimas kepada Tan Sri Sulong

0
17

KUCHING: Selepas peletakan jawatan secara mengejut  Tan Sri Kamal Mat Salih sebagai Pengerusi Unimas yang baharu, kini Kementerian Pendidikan digesa mengembalikan jawatan  itu kepada Tan Sri Sulong Matjeraie.

Gesaan supaya jawatan itu dikembalikan kepada Sulong yang ditamatkan perkhidmatannya lebih awal datang daripada Timbalan Naib Canselor Unimas.

Menurut Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman adalah adil untuk mengembalikan jawatan itu kepada Sulong sebagai Pengerusi, memandangkan tempoh perkhidmatan beliau sepatutnya berakhir pada April tahun depan.

“Ia sesuatu yang adil kepada Sulong,” Fadzil  dipetik berkata oleh FMT, sambil menambah bahawa kementerian gagal memberi sebab munasabah menamatkan perkhidmatan anak Sarawak itu.

“Pengurusan universiti tiada masalah dengan Sulong, jadi kami hairan dengan tindakan kementerian,” katanya lagi.

“Tiada berlaku salah laku. Pencapaiannya baik. Kini orang ramai mulai membuat spekulasi beliau mungkin telah melakukan sesuatu yang tidak betul,” katanya.

“Tetapi saya fikir beliau mangsa kementerian yang mahu orang lain memegang jawatan itu,”  tegasnya seperti dipetik FMT lagi.

Kamal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi pada Isnin selepas pelantikan beliau dikritik oleh Kerajaan Sarawak.

Kesemua tiga Pengerusi sebelumnya ialah anak Sarawak, termasuk Sulong manakala Kamal, bekas Naib Canselor USM dan tokoh ekonomi.