KABONG: Wang di dalam tabung surau Kampung Sungai Endot dekat sini lesap dikebas pencuri dalam satu kejadian kes curi yang dilaporkan berlaku pada waktu siang hari.

Tabung yang dibuat daripada besi dan berkunci dengan mangga (padlock) anti potong serta disimpan di dalam surau berkunci bukanlah masalah besar bagi pencuri tersebut apabila tabung berkenaan dijumpai dalam keadaan terbaring di bahagian luar belakang surau dalam keadaan penutupnya sudah ternganga.

Ketika diperiksa pada saat ditemui, kesemua wang yang terdapat di dalam tabung surau itu lesap tanpa bersisa.

Menurut seorang penduduk, kejadian itu disedari oleh pengerusi surau ketika hendak menunaikan solat zuhur pada Sabtu.

Pengerusi surau yang terkejut sebaik mendapati tabung surau ghaib dari tempat ia diletakkan mula memeriksa kawasan sekitar surau dan mendapati tabung kuning surau yang bentuknya seakan-akan tong gas terbaring di dalam rumput di belakang surau.

Menurut penduduk kali terakhir tabung berkenaan pernah dibuka dan dikeluarkan wang daripada tabung itu adalah pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

SUDAH KOSONG…. Tabung surau Kampung Sungai Endot Kabong dipecah pencuri…..

Dan tabung itu dirancang untuk dibuka pada Hari Raya akan datang. Namun kata penduduk itu, pencuri ternyata membuat perancangan lebih awal.

“Kami jangkakan isi tabung itu tidak kurang dari RM800. Semasa dibuka pada Hari Raya yang lalu isi tabung ada lebih seribu ringgit.

“Tabung berkenaan masih berada ditempat ia diletakkan pada waktu subuh. Jadi pencuri dipercayai memecah masuk ke surau kami pada waktu siang.

” Laporan tentang kejadian telah dibuat di balai polis Kabong pada hari kejadian. Kami berharap pihak polis dapat melakukan sesuatu bagi menjejak pencuri terbabit dan seterusnya membendung kejadian kecurian yang sekarang ini terlalu kerap berlaku di sini, ” ujar penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zul.

Tambah Zul kes curi duit tabung surau adalah yang pertama kali berlaku di surau itu.

Kata Zul lagi, lantaran tidak pernah berlaku sebelumnya maka tabung berkenaan tidak dikeluarkan wang di dalamnya dan menunggu tiba bulan Ramadan atau Syawal barulah penduduk bercadang untuk membukanya dan wang akan digunakan untuk mengadakan majlis.

“Bagaimanapun hajat tersebut pada kali ini nampaknya tidak menjadi kenyataan.

“Perbuatan curi wang tabung ini berkemungkinan besar dilakukan oleh budak nakal yang ketagihan dadah. Kes dadah di sini juga makin membimbangkan dan ia akan jadi lebih teruk jika tidak dibuat serbuan dan tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” ujarnya.