Pekan Siniawan di Bau semakin menggoda

0
27

KUCHING: Siniawan, sebuah pekan kecil yang terletak di Bau, kira-kira 25 kilometer dari bandar raya Kuching akan mempunyai tebingan apabila projek berharga RM10 juta itu siap tidak berapa lama lagi.

Adun Serembu Miro Simuh berkata, projek itu dijangka ditender bulan depan.

“Projek ini diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dan akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.

“Mungkin pembinaannya bermula menjelang Jun,” katanya selepas perjumpaan dengan Ketua Menteri di pejabatnya di sini, semalam bagi menjelaskan lebih lanjut tentang projek itu.

Katanya, apabila siap, projek itu akan dapat mengindahkan  Siniawan yang bersejarah itu sekali gus memacu industri pelancongan di pekan itu.

Siniawan antara beberapa pekan  di Sarawak yang masih mengekalkan struktur binaan bangunan kedai kayu lama.

Bernama pernah menggambarkan pekan itu kelihatan seperti sebuah ‘pekan koboi’ mati dan sering disangka tidak menarik bagi pelancong untuk singgah atau berjalan-jalan ke situ.

Namun, pekan di tepi sungai itu bertukar menjadi meriah pada sebelah petang dan malam dengan kehadiran ramai penduduk setempat dan pengunjung luar yang mahu menyaksikan panorama waktu senjanya.

“Pada waktu senja, suasananya cukup menggamitkan, seolah-olahnya anda berada pada zaman 70-an yang penuh dengan nostalgia,” kata Bernama dalam satu laporan beberapa bulan lalu.