KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak telah mempelopori langkah dengan memberi penerangan terhadap bahayanya seks bawah umur sehingga ke peringkat akar umbi lagi.

Menterinya, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, pihaknya telah pun menubuhkan Majlis Pembangunan Sosial (MPS) dimana ia bertujuan untuk memaklumkan kepada kumpulan sasar negeri ini iaitu ketua-ketua masyarakat, pengerusi-pengerusi NGO, dan pelajar-pelajar sekolah.

“Jadi kita telah mengadakan program iaitu mengurangkan teenage pregnancy kita masukkan juga iaitu tentang undang-undang. Dalam program itu yang bersifat inter agensi kita telah laksanakan di sekolah dan di dalam komuniti dengan kerjasama pihak PIBG, ketua-ketua masyarakat dan kaum.

“inter agensi ialah kita menjemput pihak PDRM, pihak penjara, pihak Jabatan Kesihatan, pihak Jabatan Kebajikan dan dikoordinasikan oleh MPS dan NGO-NGO kita dimana ia juga bertujuan untuk memberi maklumat kepada kumpulan sasar kita tentang mengandung bawah umur, perkahwinan bawah umur, rogol bawah umur dan hukuman-hukumannya.” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya mengenai cadangan kementerian Pendidikan persekutuan berkenaan pelaksanaan silibus pendidikan seks di dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang akan dilaksanakan mulai tahun 2021 dan menyifatkan ia satu langkah yang baik.

Sebelum itu, Fatimah hadir bagi merasmikan Majlis Kejohanan Antarabangsa Chess Inggeris untuk golongan kurang upaya di sini, petang Ahad.

Dalam ucapannya di majlis perasmian itu, beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya akan terus memperkasakan pembangunan golongan kurang upaya khususnya dalam bidang pembelajaran, sukan dan kemahiran vokasional.

“Kita akan terus memperkasakan golongan OKU kita bukan sahaja dalam bidang pembelajaran, malah juga melalui aktiviti sukan. Kita tahu bahawa mereka ini mempunyai potensi dan minat yang mendalam.

“Selain itu kita juga ingin memperkasakan OKU dalam bidang kemahiran vokasional supaya mereka juga boleh bersaing dalam bidang kemahiran selain akan memperkasakan juga golongan OKU dalam bidang kebudayaan, kesenian dan juga acara-acara kebudayaan.” ujarnya.