IPOH: Kira-kira 1,000 nelayan pukat kenka dua bot dari Kuala Kurau dan Tanjung Piandang dekat sini tidak turun ke laut untuk menangkap ikan setiap Ahad mulai semalam (5 Januari) untuk memulihkan sumber perikanan yang kian merosot.

Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata ia susulan perjumpaan pihaknya bersama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kurau untuk merangka satu pelan Pengurusan Perikanan Secara Komuniti Setempat (CBFM).

“Persatuan nelayan bersetuju untuk mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan dengan mengadakan hari tidak ke laut pada setiap hari Ahad sebagai langkah awal untuk memulihkan sumber perikanan di perairan mereka.

“Pada peringkat awal, mulai 1 Januari 2020, kita cuba untuk tidak ke laut sehari setiap minggu dan selepas enam bulan kita akan kaji impaknya terhadap sumber serta menambah baik usaha untuk memastikan sumber perikanan pulih ke tahap asalnya,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata, kaedah musim tertutup itu juga akan diguna pakai bagi peralatan yang lain seperti pukat tunda, jerut bilis atau mana-mana sumber perikanan yang kian merosot.