Tuesday, October 4, 2022

ART Kuching-Kota Samarahan dijangka beroperasi 2025

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri berkata, tarikh untuk memulakan projek Aliran Ringan Autonomous (ART) bagi laluan Kuching-Kota Samarahan telah ditetapkan, dan kemudahan pengangkutan moden itu dijangka dapat beroperasi menjelang 2025.

Datuk Patinggi Abang Johari  Tun Openg berkata, projek itu akan dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.

Jelas belia, sistem pengangkutan berkenaan akan juga melibatkan kawasan lain termasuk Batu Kawa, Bau, Lundu dan Sematan.

Kajian untuk membangunkan projek berkenaan sedang berjalan.

“Untuk permulaan projek ini akan menghubungkan kawasan Kuching dan Kota Samarahan, dan ia merupakan alternatif kepada LRT,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan pelancaran Blok Pandelela P Residence di Batu Kawah di sini, semalam.

Abang Johari berkata, kerajaan perlu mendapatkan laluan untuk ART.

ART merupakan sistem pengangkutan moden yang turut dilaksanakan di negara China, Korea dan Jepun.

ART laluan Kuching-Kota Samarahan dipercayai dapat meredakan masalah kesesakan yang dihadapi oleh pengguna jalan raya di kedua-dua arah terutamanya pada sebelah pagi dan petang.

ART ialah sistem kereta api pintar yang bergerak di atas sensor  dan ia menggabung sistem kereta api, trem dan bas.

Sebelum ini Ketua Menteri mengumumkan akan melaksanakan LRT, tetapi disebabkan ART lebih menjimatkan belanja, maka beliau mengubah kepada sistem baharu itu.

“Ia sesuatu yang baharu, dan ia tidak bergerak di atas landasan tetapi menggunakan tayar. Jadi, ia lebih murah berbanding LRT,” jelasnya.

Jika tidak ditangani segera, masalah kesesakan dijangka akan bertambah teruk dalam beberapa tahun lagi.

Kerajaan Sarawak juga dilaporkan akan membina satu lagi jambatan yang menyeberangi Sungai Sarawak dari Kota Samarahan.

“Pembinaannya bukan saja bakal  memberi manfaat kepada penduduk tempatan tetapi juga para pelancong,” katanya. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru