SRI AMAN: Keputusan sama ada kawasan tanah runtuh di Rh Panjang Agal, selamat diduduki semula atau tidak hanya akan diketahui minggu depan.

Timbalan Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Mohd Zahari Razali, berkata keputusan itu akan diketahui selepas pasukan geofizik Jabatan Mineral dan Geosains selesai menjalankan siasatan dan mengeluarkan laporan lengkap kepada Jawatankuasa Bencana Bahagian/Daerah untuk tindakan seterusnya.

“Jawatankuasa memerlukan laporan komprehensif seperti kajian pergerakan tanah, kerintangan, aliran air bawah tanah dan struktur forensik sebelum membenarkan mangsa pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat, Skim Melugu, di sini semalam seperti dipetik Malaysiaaktif.

Mohd Zahari berkata setakat ini, kerja-kerja pembaikan sementara seperti penambakan pasir dan menghampar tanah telah siap sepenuhnya tetapi pembaikan kekal belum dimulakan lagi.

Terdahulu, pada 8 Disember tahun lepas terdapat pergerakan tanah atau hakisan di kawasan Rh Panjang Agal, yang dihuni oleh 50 orang daripada 12 keluarga sehingga menyebabkan sebahagian dapur rumah tersebut terjejas teruk.

“Atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman pada masa tersebut kesemua penghuni telah diarahkan untuk berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan SMK Melugu sebelum berpindah ke PPS Dewan Masyarakat Melugu pada 31 Disember lepas kerana sesi persekolahan telah bermula,” tambahnya.