KUCHING: Kerajaan Sarawak kecewa dan kesal kerana pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak yang baharu dan penamatan tempoh Pengerusi sedia ada disingkatkan tempoh perkhidmatannya tidak dirujuk kepadanya.

Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Tan Sri Kamal Salih, 74, dilantik oleh Kerajaan Pakatan Harapan berkuat kuasa 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2022 menggantikan Tan Sri Sulong Matjaraie yang tempoh perkhidmatannya berakhir 30 April 2021.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan berkata, adalah dikesali bahawa pelantikan Kamal belum dirujuk kepada Kerajaan Sarawak.

Tan Sri Kamal Salih

“Perlu dijelaskan bahawa Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas sentiasa dilantik selepas rundingan dengan Kerajaan Sarawak. Malah Kerajaan Sarawak tidak dimaklumkan secara rasmi,” kata kenyataan itu.

Jelasnya lagi, ia merupakan proses yang dipatuhi sejak pelantikan Pengerusi pertama Tan Sri Bujang Mohd Nor dan Pengerusi kedua Datuk Dr Hatta Solhee. Ketiga-tiga mereka ialah anak Sarawak yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Kamal merupakan satu-satunya bukan anak Sarawak yang dilantik ke jawatan itu bagi Unimas setakat ini.

Persoalan yang dibangkitkan sejak berita itu tersebar, ialah tidak adakah anak Sarawak yang layak? 

Adakah Tan Sri Sulong tidak cukup baik untuk Unimas sedangkan ketokohannya adalah menyerlah, tanpa menafikan ketokohan Kamal?

Kamal pernah menjadi Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Pengarah Eksekutif MIER, ahli panel ekonomi Perdana Menteri dan pengasas Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).

Lulusan Monash University dan University of Pennsylvania ini ialah tokoh ekonomi terbilang.

Beliau juga pengasas Yayasan Wangsa Maju yang kini dikenali sebagai Yayasan Mahkota.