KUALA LUMPUR: Hanya kerana seorang wanita sekumpulan lelaki bergaduh di gelanggang bola keranjang di Seri Kembangan, Serdang, Rabu lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan kejadian berlaku pada 10.30 malam ketika sekumpulan lelaki bermain bola keranjang sebelum diserang 15 lelaki lain.

“Kejadian itu menyebabkan segelintir mereka mendapat kecederaan serta beberapa barangan mereka dilarikan.

“Siasatan lanjut mendapati punca kejadian berkaitan dengan perebutan seorang wanita dipercayai merupakan teman wanita kepada seorang individu daripada kumpulan tersebut.

“Difahamkan, teman lelaki wanita itu berang dengan seorang daripada mangsa menyebabkan pergaduhan itu berlaku,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik Astro Awani.

Mengulas lanjut, Ismadi berkata polis menolak wujudnya unsur gengsterism serta perkauman dalam kejadian itu kerana kedua kumpulan tersebut saling mengenali.

“Sehubungan itu, polis telah menahan enam lelaki kesemuanya berusia 16 hingga awal 20-an yang disyaki positif terlibat dengan kejadian.

“Kesemua barangan mangsa juga telah ditemui dan polis percaya kes tersebut telah berjaya diselesaikan,” jelasnya.

Tambah Ismadi, enam suspek tersebut akan direman di Mahkamah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.