KUCHING: Kampung Budaya Sarawak (SCV) telah menerima hampir tiga juta pelawat sejak dibuka kepada orang ramai pada 15 Februari 1990.

Pengurus Besarnya Jane Lian Laban berkata  dalam tempoh 30 tahun, dari 1990 hingga akhir bulan lalu, SCV sudah menerima 1,689,406 pelawat asing dan 1,299,778 pelawat tempatan.

“SCV menerima purata 130,000 pelawat berbayar setiap tahun, dan jika peserta acara lain seperti Rainforest World Music Festival diambil kira, jumlahnya ialah 150,000,” jelas beliau.

Katanya lagi, dalam tempoh antara 1990 hingga 2019, sebanyak 329,593 pelawat untuk festival berkenaan.

Jelas beliau antara orang ternama yang pernah melawati SCV ialah Sultan Brunei, selebriti Hollywood dan Bollywood dan Prince Charles.

Kadar tiket masuk ke SCV  bagi pelawat asing ialah RM95 untuk orang dewasa dan RM60 untuk kanak-kanak berusia antara dua tahun hingga 12 tahun. 

Bagi warga tempatan kadarnya ialah RM30 untuk orang dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak, tidak termasuk makan tengah hari.

Jane berkata, kejayaan yang diraih oleh SCV setakat ini adalah berkat sokongan orang ramai sejak penubuhannya pada 1990.