Tuesday, January 25, 2022

Kerugian besar buat Kementerian Pendidikan

Secara Rawak

Semalam, perletakkan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan negara merupakan kerugian besar buat sektor pendidikan di negara kita. Maszlee yang mempunyai latar belakang pendidikan yang boleh dibanggakan memang pilihan tepat oleh PH untuk mengemudi Kementerian Pendidikan. Banyak pencapaian dicipta beliau walaupun hanya dalam tempoh yang singkat menerajui satu kementerian yang sangat penting. Kejayaan kementerian beliau tenggelam oleh isu yang dihangatkan sehingga memberi tekanan kepada beliau sebagai peneraju.

Bila pendidikan dipolitikkan, perancangan yang baik pun tidak akan akan nampak di mata rakyat. Persoalannya, kenapa perkara ini berlaku? Salah satu penyebab adalah kerangka serta naratif politik perkauman masih menebal dalam spektrum politik negara. Ini merupakan penyakit yang sukar untuk di ubat selagi aktor-aktor serta parti-parti politik menjadikan perkauman ini sebagai landasan dalam memastikan survival dalam dunia politik.

Kerajaan Malaysia Baharu harus mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk membawa naratif yang lebih inklusif dalam merencana hala tuju negara. Perlembagaan merupakan satu kitab yang dijadikan sebagai rujukan dalam merencana segala dasar yang ingin diperkenalkan serta dilaksanakan. Pemahaman tentang perlembagaan dalam kalangan rakyat harus dititik beratkan oleh kerajaan agar apa-apa dasar yang diperkenalkan tidak akan dijadikan isu perkauman.

Maszlee merupakan mangsa politik dalam kalangan rakyat yang tidak memahami atau tidak ambil kisah berkenaan dengan perlembagaan. Beliau yang banyak menyumbang dalam kementerian pendidikan terutama menyediakan infrastruktur sekolah terutama sekolah daif, merangka hala tuju pendidikan negara – STEM, meminda AUKU, mengawal ketirisan dalam kementerian dan sebagainya ditenggelamkan oleh isu tulisan seni khat. Isu seni khat ini melampau dipolitikkan sehingga apa yang baik direncanakan oleh beliau tenggelam.

Persoalannya, adakah ini adil kepada Maszlee? Sama-sama kita renungkan persoalan ini.

Pendidikan merupakan salah satu elemen yang paling penting dalam sebuah negara. Tanpa pendidikan yang inklusif ia dapat melumpuhkan sebuah negara. Seseorang yang menerajui kementerian pendidikan seharusnya mempunyai latar pendidikan yang baik dan tidak dipengaruhi oleh politik dalam membuat perancangan yang terbaik untuk pendidikan negara. Penyediaan modal insan yang berkualiti tinggi adalah berlandaskan kepada kualiti dasar pendidikan negara.

Kerajaan PH harus mengemukakan seorang individu yang mempunyai hala tuju yang jelas untuk mengemudi Kementerian Pendidikan selepas perletakkan jawatan Maszlee. Perancangan yang baik harus diteruskan dan ditambahbaik. Rakyat tidak mahu melihat sistem pendidikan kita keterbelakang dan sentiasa berubah setelah pertukaran peneraju Kementerian Pendidikan. Tetapkan garis panduan serta jangka masa dalam melaksanakan dasar serta perancangan dalam sistem pendidikan negara.

Kini, kekosongan jawatan Menteri Pendidikan perlu di isi oleh jentera PH. Persoalannya, siapakah yang layak untuk mengemudi kementerian yang penting ini? Pilihan yang tepat harus dilakukan oleh PH agar individu yang dipilih mampu untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat dengan penuh akauntabiliti. Mampukah individu yang dipilih untuk melaksanakan amanah serta tanggungjawab dengan baik? Perkara ini perlu diambil kira oleh PH dalam memilih individu yang bakal mengemudi Kementerian Pendidikan.

Apa pun, jasa Maszlee selaku Menteri Pendidikan dalam tempoh 20 bulan harus mendapat penghargaan daripada rakyat. Perancangan serta dasar yang dikemukakan beliau tidak dapat dinafikan dalam membawa hala tuju pendidikan negara ke arah negara maju. Kehilangan serta kerugian besar buat negara dalam era Malaysia Baharu atas perletakkan jawatan Maszlee. Negara memerlukan jentera yang mempunyai latar belakang pendidikan yang baik untuk menjadi peneraju negara yang terus mengejar sebagai sebuah negara maju. Terima Kasih atas jasa serta sumbangan Dr Maszlee dalam meneraju kementerian pendidikan negara.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang Sains Politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru