Saturday, May 8, 2021

Ini punca sebenar Maszlee letak jawatan sebagai Menteri Pendidikan

Mesti baca

KUCHING: Apa sebenarnya punca Dr Maszlee Malik meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan hanya selepas sekitar 20 bulan di kerusi itu?

Anggota Parlimen Simpang Renggam dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Mei 2018 selepas Perdana Menteri yang sepatutnya menjawat jawatan itu tidak jadi berbuat demikian.

Sejak awal Maszlee dilihat sebagai menteri yang banyak membawa masalah kepada kerajaan apabila kenyataan dan dasarnya mencetuskan kontroversi demi kontroversi dan krisis demi krisis. 

Ini menjejaskan imej dan reputasi serta sokongan terhadap Kerajaan Pakatan Harapan.

Jadi,  pengunduran beliau lebih sebagai langkah untuk menyelamatkan kedudukan PH daripada terjerumus ke lembah yang lebih dalam.

Maksudnya, Maslee lebih dilihat sebagai liabiliti atau beban kepada kerajaan.

Tindakan drastik Maszlee itu diambil selepas sebuah portal mendedahkan hasil tinjauan bahawa 18 daripada 29 menteri kabinet pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat gagal oleh rakyat.

Maszlee, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabngsa Malaysia  (UIAM), hanya mendapat 16 markah, yang kedua terburuk selepas Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof.

Antara isu yang menjejaskan imej Maszlee dan kerajaan ialah isu berkaitan kasut hitam, murid menggunakan kolam hotel untuk belajar berenang, pelantikannya sebagai Presiden UIAM, tidak menyambung kontrak perkhidmatan internet yang ditawarkan oleh YTL Communications Sdn Bhd, menjadikan Sabah dan Sarawak untuk guru agama berdakwah. 

Tetapi isu berkaitan dengan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan sehingga mendapat tentangan keras daripada masyarakat Cina yang diterajui Dong Zong ialah ibu segala isu yang membelenggu beliau.

“Saya sebagai menteri yang menerajui KPM lebih dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepemimpinan seperti isu Jawi, Internet sekolah dan isu sarapan percuma, dan juga beberapa isu sampingan yang lain,” katanya semalam.

Dalam kenyataan dan tindakannya, Menteri Pendidikan itu menjadi semakin defensif dan cuba mengelak media.

Kegagalan menangkis tuduhan dan kegagalan dalam mengkomunikasikan inisiatif yang diambilnya menjadi sebahagian daripada punca imejnya terpukul sehingga dia dilihat sebagai menteri yang gagal.

“Perubahan yang ktia lakukan dalam tempoh 20 bulan ini begitu signifikan dan indah untuk kita kongsikan, namun malangnya ia tidak dapat perhatian untuk headlines dan juga tajuk-tajuk (berita),” katanya dalam ucapan pada persidangan mengumumkan pengundurannya daripada jawatan itu yang berkuat kuasa hari ini.

“Banyak tajuk sensasi, lebih buat penghinaan, banyak isu sensitif dan sengaja dibesar-besarkan lebih jadi pilihan utama,” katanya yang bagai kesal dengan kejadian itu.

Secara Rawak

Artikel Terbaru