KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Malaysia ternanti-nanti tibanya 1 Januari 2020 dengan persoalan adakah apa yang mereka gambarkan selama ini menjadi nyata menjelang tahun 2020?

Katanya dalam satu kenyataan sempena menyambut tahun baharu, pelbagai imaginasi yang direka oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menabur harapan palsu kepada rakyat Malaysia sehinggakan rakyat Malaysia membayangkan tahun 2020 sebagai negara progresif dengan adanya kereta terbang, pendidikan percuma untuk semua golongan, sejuta peluang pekerjaan serta berbagai-bagai lagi imaginasi palsu yang telah direka-reka oleh kerajaan PH.

“Rakyat Malaysia sudah banyak derita akibat dari kegagalan dan kekejaman PH. Bermula dari nelayan, penoreh getah, pesawah, pekebun sawit sehinggalah kakitangan awam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan PH gagal membela nasib rakyat dan perancangan kerajaan PH melalui belanjawan 2020 hanyalah mengutamakan kepentingan kepada pemodal dan pelobi (kroni) yang langsung tidak menguntungkan rakyat.

“Kerajaan PH masih gagal membela nasib nelayan hatta pendapatan warga nelayan juga semakin hari semakin berkurangan. Lebih buruk, bantuan sara hidup nelayan telah pun dikurangkan. Kita tidak nampak sedikit pun sinar untuk warga nelayan menjelang 2020 ini,” katanya.

Jelas beliau, peneroka sawit pula menempuhi episod malang apabila berhadapan dengan isu boikot daripada negara-negara import seperti India, hingga menyebabkan harga sawit mentah tidak malar dan tidak konsisten.

“Kenaikan harga sawit di dalam bulan ini yang digembar-gemburkan bukan lah merupakan kenaikan harga kerana usaha dan tindakan kerajaan PH tetapi kerana kekurangan pengeluaran buah sawit akibat musim melawas iaitu pengeluaran buah sawit berkurangan (permintaan melebihi penawaran).

“Menteri yang tidak faham tentang industri sawit berbangga dengan keadaan tersebut sedangkan keadaan sebenar adalah pendapatan pekebun sawit tidak berubah kerana hasil tuaian buah sawit yang berkurangan.

“Bagi penoreh getah, harga getah masih pada tahap yang rendah. Tidak ada kenaikan malah lebih malang lagi Peruntukan Lembaga Getah Malaysia dipotong sepenuhnya! Bagaimana aktiviti R&D dari segi mutu getah akan berjalan dengan baik pada tahun 2020?,” katanya.