KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menggesa  kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membuat kajian mendalam sebelum sesuatu perkara hendak diluluskan.

Beliau berkata demikian berikutan langkah PH memutuskan bahawa pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang sepatutnya bermula pada 1 Januari tahun depan akan ditangguhkan.

“PSP tangguh lagi. Namun kita sudah jangka, dan beginilah jika segala dasar dibuat tanpa kajian mendalam dan lebih mengutamakan politik populis,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya.

“Kerana itu saya minta Kerajaan PH terutama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna buatlah kajian memdalam sebelum sesuatu perkara hendak dilakukan,” katanya.

Kata Ahli Parlimen Lenggong itu, jangan lupa bahawa rakyat dan kepentingan negara mesti diutamakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail  semalam dipetik berkata, pelaksanaan PSP tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

Alasannya adalah bagi memberi ruang untuk sesi penerangan dan penjelasan diteruskan dengan tujuan memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat menerima pelaksanaan program PSP ini dan juga bagi proses pendaftaran penerima daripada kelompok M40 yang akan dikendalikan oleh kementerian kewangan.