KUCHING: Rakyat Sarawak yang berminat melancong ke China dapat berbuat demkian tanpa perlu lagi terbang ke ibu kota atau Sabah terlebih dahulu.

Ini kerana mulai Mac depan, akan wujud perkhidmatan penerbangan langsung ke Haikou, China dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Hainan Airlines bakal melancarkan penerbangan terus dari Haikou, China ke Kuching bermula Mac 2020. 

Haikou ialah kota pelabuhan di wilayah Hainan terletak di pesisiran utara pulau berkenaan berdepan Selat Qiongzhou.

Bandar yang mempunyai sekitar dua juta jiwa itu  menampilkan adunan antara reka bentuk bangunan Cina dengan Eropah.

Banyak destinasi pelancongan menarik di bandar raya ini termasuk muzium, taman botanikal, Taman Wanlv, Taman Baishamen dan Pantai Jiari.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semalam berkata syarikat penerbangan Hainan Airlines akan menyediakan perkhidmatan penerbangan langsung ke Sarawak. 

“Saya begitu gembira kerana akhirnya penerbangan terus dari Haikou ke Kuching  menjadi realiti dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan Hainan Airlines,” katanya dalam sidang media semalam. 

Untuk rekod ini  adalah kali pertama Hainan Airlines menyediakan penerbangan ke Sarawak. 

Beliau berkata penerbangan yang dirancang dua kali seminggu itu berpotensi menjana industri eksport makanan dari Sarawak ke Hainan.

Kata Abdul Karim, penerbangan antara Haikou dengan Kuching akan mampu menarik lebih ramai pelancong dari China ke Sarawak.

Beliau percaya bahawa penerbangan itu nanti akan mendatangkan kesan positif bagi sektor pertanian di Sarawak kerana sebagai negara yang berpopulasi besar, China memerlukan produk makanan yang banyak.