MUKAH: Pasukan Simpang 3 merangkul kejuaraan Pertandingan Bolasepak Piala Krismas Tertutup Kampung Petanak 2019 setelah menewaskan pasukan Chee Vas 12 dengan jaringan 2-0 di perlawanan akhir.

Bekas pemain Sarawak yang juga pemain semasa Kuching FA, Sufizal Ismail membuka tirai jaringan bagi membolehkan pasukan Simpang 3 mendahului jaringan satu gol pada separuh masa. Pemain veteran, Hailari Juni menambahkan koleksi gol beliau dengan jaringan kedua bagi mengesahkan kejuaraan buat pasukan Simpang 3.

Tempat ketiga pula dimenangi pasukan Sungai Galong yang berjaya menundukkan pasukan 2020 United dengan jaringan 1-0.

Anugerah Penjaring Terbanyak dimenangi oleh Hailari Juni yang menghasikan 8 gol sepanjang pertandingan. Manakala, penjaga gol Simpang 3, Sylvester Ronald Donald dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Penghulu Kampung Petanak, Edmund Innu Sebli. Para pemenang menerima piala, pingat dan wang tunai.

Menurut Pengerusi Pengelola, Daniel Tan pertandingan tersebut dianjurkan bagi memeriahkan Sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu 2020.

“Diharap pertandingan ini dapat memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan mengeratkan persaudaraan di kalangan penduduk setempat. Selain itu, saya berharap pertandingan ini dapat melahirkan pemain yang dapat mewakili bahagian Mukah mahupun Sarawak seperti Sufizal Ismail,” tambah beliau.

Sebanyak 11 pasukan menyertai pertandingan yang diadakan pada 29 hingga 30 Disember 2019 di padang Dewan Masyarakat Kampung Petanak Mukah yang dianjurkan bersama oleh Kelab Fustal Petanak, JKKK, KRT dan Belia Kampung Petanak Mukah.