KUCHING:  Kuching bakal menjadi hub umrah bagi bagi kaum Muslim di Borneo  apabila penerbangan terus dari bandar raya ini ke Jeddah dan Madinah berkuat kuasa nanti.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni, Budaya, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penerbangan empat kali seminggu itu akan membuka satu lagi lembaran baharu dan merancakkan industri pelancongan Sarawak.

Katanya, ATS Global  dan Charter Sdn Bhd akan menyediakan penerbangan umrah dengan menjadikan Kuching sebagai laluan alternatif, menerusi penerbangan Kuching ke Jeddah, dan Kuching ke Madinah, menggunakan syarikat penerbangan pilihan mereka.

Jelasnya, penerbangan itu nanti bukan hanya akan mengendalikan mereka yang mahu mengerjakan umrah dari Sarawak, tetapi juga dari Brunei dan Kalimantan.

“Ini merupakan satu rahmat apabila dapat berkhidmat kepada ummah, bagi memenuhi kewajipan agama, selain menawarkan perkhidmatan kepada mereka yang berhasrat untuk melakukan perjalanan bagi tujuan melancong atau kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan ATS Global Travel and Charters Sdn Bhd di sini pada Isnin.

Kata Abdul Karim,  ia merupakan impian besar Kerajaan Negeri yang memerlukan  kerja keras pelbagai pihak bagi menjayakannya.

Abdul Karim menambah, langkah ini akan menyumbang kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan sebagainya apabila jemaah terbabit berkumpul di bandar raya ini sebelum terbang ke destinasi berkenaan.