BUKIT MERTAJAM: Bermula 2 Januari 2020, para peniaga boleh mengadakan jualan murah pada bila-bila masa dan ia tidak lagi terhad kepada empat kali setahun, seperti sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) Pindaan 2019 yang diwartakan pada 29 Nov lepas itu juga membolehkan jualan murah diadakan tanpa perlu menghantar permohonan permit kepada kementeriannya.

“Sebelum ini peniaga perlu mohon permit 14 hari sebelum menganjurkan jualan murah, namun menerusi pindaan itu, mereka tidak perlu lagi mohon.

“Konsep penganjuran jualan murah yang dikawal had bilangannya adalah releven sebelum ini, bagaimanapun pada era teknologi serta model perniagaan yang semakin berkembang, konsep itu dilihat tidak memberi fleksibiliti dan menyekat peniaga menganjurkan (jualan murah) mengikut kreativiti serta strategi pasaran masing-masing,” katanya selepas merasmikan program ‘Kembali ke Sekolah’ di Tesco Seberang Jaya, di sini semalam seperti dipetik Bernama.

Saifuddin Nasution berkata kuota penganjuran jualan murah itu juga, dilihat menjadi satu halangan perdagangan dalam konteks perdagangan antarabangsa masa kini dan pindaan itu dibuat selepas kajian yang teliti, serta mengambil kira pandangan pihak industri dan pengguna.