KUCHING: Perkhidmatan farmasi adalah satu perkhidmatan yang sangat kritikal dalam sesuatu fasiliti kesihatan. Menurut satu kenyataan daripada Public Health Malaysia, fasiliti kesihatan itu terdapat di hospital, klinik kesihatan dan institut kesihatan termasuk Institut Kanser Negara.

“Bidang perkhidmatan farmasi ini sangat luas dan juga spesifik. Ahli-ahli farmasi terlibat dalam semua pengurusan ubat-ubatan,” katanya.

Kenyataan itu menegaskan lagi, sekiranya satu fasiliti kesihatan melibatkan ubat-ubatan tidak menggunakan kepakaran ahli-ahli farmasi, maka perkhidmatannya akan pincang dan kurang berkualiti.

“Tidak mungkin perkhidmatan farmasi tidak dianggap satu perkhidmatan kritikal, sedangkan hampir semua rawatan kepada pesakit melibatkan ubat dan ini memerlukan kepakaran ahli-ahli farmasi.

“Untuk pengetahuan umum ahli farmasi masih lagi terkecuali daripada menerima Elaun Kerja di Luar Waktu Perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai elaun oncall walaupun turut melakukan oncall sama seperti doktor,” jelasnya.

Sejajar itu, Public Health Malaysia mengucap terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menangguhkan penarikan elaun kritikal kepada kakitangan kesihatan yang terlibat.

Antara perkhidmatan ahliahli farmasi ialah pendispensan dan kauseling ubat di kaunter, pendispensan aseptik, perkhidmatan di jabatan kecemasan (24 jam termasuk oncall), perkhidmatan farmasi klinikal, perkhidmatan MTAC, perkhidmatan radiofarmaseutikal, perkhidmatan farmakokinetik klinikal (TDM), pendispensan methadone termasuk dalam penjara.

Selain itu, ahli farmasi juga menguruskan stok ubat fasiliti kesihatan, membekalkan ubatubatan di wad, kajian ubat rumah dan aktiviti komuniti.

Bagaimanapun, pada 24 Disember lalu Kerajaan Persekutuan mengumumkan elaun kritikal bagi doktor, jurutera dan penjawat awam lain yang baharu dilantik mulai 1 Januari 2020 akan dimansuhkan di bawah Bayaran Insentif Perkhidmatan Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Keputusan kerajaan untuk menghapuskan BIPK dikatakan bakal memberi kesan kepada pekerja kerajaan melibatkan 33 Skim Perkidmatan Kritikal yang dilantik mulai 1 Januari 2020.

Namun pada 27 Disember lepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad setuju menangguhkan pemansuhan BIPK.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Menurutnya, ahli jemaah menteri akan berbincang perkara tersebut dalam mesyuarat jemaah menteri yang pertama pada Januari akan datang.

Saddiq sebelum ini berkata, elaun ahli politik dan menteri patut dipotong, bukannya elaun kritikal bagi kakitangan kesihatan seperti doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.