HUBUNGAN persaudaraan antara kaum Sikh dan masyarakat Islam terbukti segar pada waktu pelbagai berita penindasan terpaksa ditanggung masyarakat Islam di India.

Dua hari selepas sambutan Hari Natal, seorang petani bernama Darshan Singh dari perkampungan Machike di daerah Moga, Punjab di India menyumbang sebidang tanah miliknya secara percuma untuk membina sebuah masjid.

Tanah bernilai lebih dari RM45,000 itu turut akan memuatkan sebuah pusat masyarakat selain menjadi pusat ibadat.

Terdapat 15 keluarga miskin Islam yang tinggal di Machike. Masjid yang sedia ada bersebelahan lebuh raya Machike ke Barnala bakal diroboh untuk projek pembesaran jalan.

Sebelum ini, sebuah keluarga Sikh dari bandar kecil Purkazi di Wilayah Muzaffarnagar menyumbang sekeping tanah seluas 900 kaki persegi untuk pembangunan sebuah masjid.

Muzaffarnagar merupakan lokasi rusuhan perkauman pada tahun 2013.

Sukhpal Singh Bedi, ketua keluarga Sikh di Purkazi menyerahkan tanah itu bukan sebagai derma tetapi disifatkannya sebagai `seva’ yang bermakna khidmat bakti tanpa harapan sebarang balasan.

Jauh dari Asia, di Amerika, pasangan anak-beranak di New York bertindak mengumpul dana bagi tujuan membina masjid di Nadala, India.

Darshan Singh Bersama anaknya Jaspreet yang kini menetap di Amerika ; menggerakkan kempen ‘GoFundMe’ melalui laman web sumbangan sukarela awam (crowdfunding). Dana ‘GoFundMe’ sudah menarik sokongan dari 35 penyumbang.

Setakat ini sejumlah ASD1600 sudah terkumpul dan tabung itu akan terus dibuka hingga mencapai sasaran ASD10,000 yang diperlukan.

Di India, hubungan kaum Sikh dan penduduk beragama Islam kurang menimbulkan perbalahan besar-besaran, sebaliknya lebih kepada persaudaraan dan bantu-membantu sebagai kaum minoriti di negara yang di dominasi warga beragama Hindu.

Hubungan baik kaum Sikh dengan penganut agama Islam di India kian segar ekoran pembukaan Anjung Kartarpur (Kartarpur Corridor) pada awal November.

Laluan ini dibuka oleh Pakistan bagi tujuan memudahkan kaum Sikh dari India melawat Gurdwara Darbar Sahib di bandar Kartarpur di Pakistan tanpa keperluan visa.

Tanpa kemudahan ini, berpuluhan ribu pengikut ajaran Guru Nanak dari India terpaksa mengambil jalan yang lebih jauh melibatkan laluan melalui Lahore, ibu negara Pakistan.