KUCHING: Sarawak tidak mengalami masalah bekalan bawang merah walaupun negara berdepan kekurangan bekalan ketika ini. Jurucakap KPDNHEP menjelaskan, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan mengenai kekurangan bawang merah di pasaran ketika ini.

“Setakat ini bekalan bawang merah di Sarawak masih mencukupi. “Bagaimanapun kami akan memantau isu ini,” katanya yang dihubungi semalam.

Dua hari lalu beberapa media arus perdana melaporkan krisis bekalan bawang yang melanda negara ketika ini hingga harganya naik sehingga tiga kali ganda, dijangka pulih Februari tahun hadapan.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Ishak Ismail berkata, ia disebabkan kekurangan jumlah import bawang merah terutama dari India susulan sekatan negara terbabit akibat banjir besar.

Bagaimanapun katanya, ia hanya bersifat sementara dan Malaysia bukan negara tunggal yang terkesan dengan situasi itu, sebaliknya turut dialami negara pengimport lain.

“Kira-kira 60 peratus daripada bekalan bawang di negara ini diimport dengan India menjadi pengimport terbesar iaitu 70 peratus. Malaysia turut mengimport bawang merah dari China, Pakistan dan Mesir, namun kualitinya kurang baik berbanding bawang India.

Bagaimanapun, Malaysia masih mengimport bawang dari negara lain seperti Belanda, China dan Pakistan.