Friday, August 19, 2022

Politik pengorbanan

Secara Rawak

Ketika negara dalam kedudukan ekonomi yang kurang menentu dan belum pulih, kerajaan patut terlebih dahulu berkorban kepada rakyat.  Hal ini sesuai dengan peribahasa kepimpinan melalui tauladan. Maksudnya kerajaan akan memulakan langkah dengan memotong elaun mereka dengan kadar paling munasabah dan memotong elaun pekerja bawahan perlu dihindari.

Di Argentina, presiden Dewan Perwakilan Sergio Massa memaklumkan  bahawa gaji dan imbuhan kesemua ahli parlimen Argentina dibekukan selama enam bulan, bagi membantu menangani krisis ekonomi yang melanda negara itu.  Maknanya selama 180 hari gaji kesemua ahli Parlimen termasuk gaji Presiden dan Kabinet mereka dibekukan. Alberto Fernandez ialah presiden negara Argentina.

Tindakan ini merupakan langkah patriotik pemimpin negara Argentina yang sebulat suara melakukan langkah terhormat sebelum mereka membuat keputusan dasar penjimatan kepada penjawat awam dan rakyat di negara tersebut. 

Paradoks

Baru-baru ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling bertarikh 20 Disember lalu mengumumkan penamatan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun 2020. 

Kadar elaun perkhidmatan kritikal antara 5 hingga 15 peratus berdasarkan gaji asas penerima, dengan jururawat mendapat jumlah tertinggi (15 peratus). Antaranya pegawai perubatan, ahli farmasi dan pensyarah di kedua bidang ini menerima kadar rata RM750. BIPK diperkenalkan kerajaan pada 1992 untuk kedudukan yang sukar dipenuhi. Maknanya, ketika itu jawatan tersebut sukar kerana tidak ramai lulusan dalam bidang tersebut manakala lebih ramai berminat bekerja dalam sektor swasta yang menawarkan gaji yang lebih lumayan.

Namun selepas puluhan tahun, lulusan perubatan, farmasi, kejururawatan misalnya semakin berlambak di pasaran. Malah ada yang tamat pengajian mengambil masa setahun untuk ditempatkan kerana ketiadaan kekosongan jawatan.  Inilah antara rasional pemansuhan elaun tersebut, selain daripada dasar pemotongan dan jimat cermat yang cuba diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

Jawatankuasa Khas

Jawatankuasa Khas Kabinet Transformasi Perkhidmatan Awam  yang membuat keputusan tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan dianggotai oleh ahli kabinet lain seperti Azmin Ali, Lim Guan Eng dan Muyiddin Yassin selain Ketua Setiausaha Negara. Setelah semakan 2019  jawatankuasa tersebut mendapati kerja tersebut tidak lagi menepati kriteria maka diputuskan tiada lagi pemberian elaun kritikal baru untuk lantikan 33 jawatan dalam sektor perkhidmatan awam yang tidak lagi dianggap kritikal bermula awal tahun depan atau 2020.

Terdapat beberapa persoalan utama. Antaranya ialah mengapakah semudah itu kerajaan  membuat keputusan muktamad pemberhentian elaun kritital tersebut? Apakah proses kerja yang dilalui sebelum membuat keputusan tersebut? Sudah pasti ia melalui pelbagai tapisan dan proses ketat sebelum dibuat keputusan.

Beberapa menteri kanan menganggotai jawatankuasa khas kabinet Transformasi Perkhidmatan Awam tersebut.  Apakah tidak ada ada perbincangan dan perbahasan mendalam sebelum membuat keputusan pemberhentian tersebut?

Takut semakin tidak popular

Kalau ada pun kajian dan perbincangan mendalam dalam jawatankuasa khas kabinet tersebut mengapa kerajaan tidak mempertahankan kalau betul?  Kerajaan pernah membatal atau menarik balik Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP). Perkara ini berlaku apabila dasar PPSMI dimansuhkan.Ia  juga satu bentuk elaun. Maknanya, penarikan atau pemansuhan elaun bukanlah suatu yang luar biasa. Adakah kerajaan tidak berani mempertahankan dasar  yang baik kerana ketidaksabilan parti politik masing-masing?

Maka, flip-flip keputusan  atau keputusan yang sentiasa berubah menunjukkan ketidakyakinan mempertahankan dasar yang diputuskan dalam jawatankuasa khas.  Ia seolah-olah mencipta isu, kemudian digemparkan menyebabkan timbulnya reaksi marah kerajaan kemudian keputusan ditarik balik. Adakah ini merupakan salah satu strategi mengolah persepsi bahawa kerajaan merupakan pendengar peka kepada masalah rakyat sehingga mengabaikan nama-nama besar ahli kabinet kanan negara?

Salah Perhitungan?

Ataupun terdapat salah perhitungan dan sepatutnya kepimpinan negara dan pentadbir utama kerajaan yang dahulu berkorban kepada rakyat. Hal ini kerana reaksi rakyat dan media sosial mulai berani menuntut  yang mahukan kerajaan memotong elaun menteri dan pentadbir utama terdahulu, bukannya elaun kakitangan awam terlibat. Makanya, wacana rakyat kini menyebabkan kerajaan terperangkap dengan keputusan yang dibuat mereka sendiri.

Justeru, terdapat seruan bahawa sudah tiba masanya kerajaan menilai semula kewajaran elaun yang diberi kepada menteri dan pegawai tertinggi sektor awam dalam keadaan ekonomi negara hari ini. Mana-mana elaun yang sudah tidak relevan wajar dipotong lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi negara yang tidak mengizinkan pembaziran.

Selain pemansuhan elaun kritikal, kerajaan sepatutnya memikirkan bagaimana nak potong elaun menteri yang terlalu banyak. Sudah tiba masanya kerajaan menilai sama ada gaji dan elaun mereka sesuai atau tidak dalam keadaan ekonomi sekarang ini.

Desakan kuat

Rakyat mulai mendesak agar kerajaan  sentiasa mendengar suara rakyat yang sekarang ini dan  mahu elaun menteri dipotong. Banyak lagi elaun lain yang boleh dikaji dan tiada keperluan. Elaun pegawai tertinggi kerajaan seperti kategori Jusa dan Turus juga perlu dinilai dan mana-mana elaun yang sudah tidak wajar perlu dimansuhkan. Bukan sahaja golongan berpendapatan rendah  di bawah gred 54 yang sentiasa diberi perhatian, tetapi perlu dilihat dalam kalangan pegawai Turus dan Jusa yang banyak menikmati elaun yang besar-besar. 

Malah gaji ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga harus dinilai semula yang dilihat terlalu besar. Pada masa yang sama kerajaan tidak seharusnya hanya mengharapkan rakyat berkorban untuk negara. 

Bukan kerajaan sahaja meminta pengorbanan daripada rakyat, tapi rakyat juga ingin wakil rakyat berkorban daripada segi elaun diterima yang dilihat tidak munasabah. Sama-sama berkorban untuk negara. Apabila berada di tampuk kuasa mereka yang berkuasa di atas seharusnya menjadi lebih sedar dan insaf dengan jurang kedudukan rakyat dan kedudukan mereka sangat  besar dan luas.

 Kesenjangan inilah yang menyebabkan rakyat di bawah sentiasa berada di bawah garisan miskin, susah  dan kurang berupaya. Tanpa pembelaan daripada pemerintah jurang kemiskinan dan kesusahan sukar dirapatkan.

Maka jika tidak ditangani maka akan menyebabkan  ketidakpuasan hati rakyat sentiasa menyala-nyala dan menunggu masa perubahan besar seterusnya pada pilihan raya umum akan datang. Sudah tiba masanya, pemerintah lebih prihatin kepada masalah rakyat dan penjawat awam. 

Politik pengorbanan bukan sahaja rakyat menanggungnya, malah wakil rakyat dan pemerintah perlu berkorban meskipun berdepan dengan keputusan tidak popular. 

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru