KUCHING: Tidak diberi  wang seperti diminta, seorang penganggur naik minyak lalu memecah cermin kereta dan cermin tingkap rumah ayahnya di Jalan Bako di sini.

Atas perbuatan itu di mahkamah di sini semalam majistret Nuruhuda Mohd Yusof mengarahkan Mizi Mohamad dikenakan denda RM4,500 atau setahun penjara sekiranya gagal . 

Dia didakwa dengan  sengaja melakukan khianat dengan merosakkan harta benda milik ayahnya dan disabitkan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. 

Lelaki berusia 22 tahun itu  yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah apabila dibacakan pertuduhan.

Pada jam 11 pagi, 22 Disember lalu Mizi meminta wang daripada ayahnya, Mohamad Jenis, 63, namun, ayahnya enggan  akur kepada kehendak anaknya itu.

Tidak berpuas hati, Mizi pun naik berang lalu memecahkan tingkap kereta serta cermin rumah ayahnya dengan menggunakan sebatang besi. 

Menurut fakta kes,  selepas kejadian itu, ayahnya yang risau akan keselamatan diri dan keluarganya membuat laporan polis.

Tertuduh ditangkap polis pada jam 2.42 petang hari berikutnya.