Monday, December 5, 2022

Alunan muzik serikan Kopi O Corner Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Penampilan pemuzik istimewa yang menghiburkan pengunjung di Restoran Kopi O Corner di Satok Kuching menambah seri dan menjadi ‘perencah tambahan’ yang menggamit pengunjung untuk singgah ke restoran tersebut.

Bakat dua pemuzik daripada kalangan orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami masalah penglihatan atau lebih tepat dipanggil pemuzik buta memang cukup memukau.

Kehebatan pemuzik itu dikuasakan lagi dengan suara ‘power’ penyanyi lelakinya yang berbadan agak gempal yang begitu bersahaja menanyikan lagu daripada pelbagai genre muzik dari irama retro hinggalah ke irama hits masa kini.

Seorang lagi penyanyi wanita yang turut menjadi ‘penambah rasa’ atau perencah persembahan turut menggamit hati pengunjung di premis berkenaan.

Antara lagu yang sering diminta oleh pengunjung tempat tersebut sepanjang tiga kali kunjungan penulis ke situ adalah lagu seperti Always Somewhere, Goyang inul, Seri, Yank
Enda Kempang Duduk Berimbai, Berkikis Bulu Betis, Memori Daun Pisang, Yang Kusayang dan Untukmu Sayang.

Restoran ini semestinya tidak asing bagi warga Bandaraya Kuching. Namun tidak semua mereka pernah singgah kerana sekadar lalu sahaja di kawasan itu.

Mungkin faktor kurang tempat parkir menjadi antara faktor ramai yang hendak singgah tapi tidak jadi lantaran sukar cari parkir.

Apapun kepada yang singgah di restoran itu selain menikmati sajian dan irama yang diperdengarkan, ringan-ringankanlah tangan untuk menyeluk saku atau membuka dompet dan seterusnya menghulur sedikit sumbangan ke tabung yang disediakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sumbangan tenaga dan suara pemuzik kurang upaya tersebut yang telah berpenat lelah menghiburkan pengunjung.

Mereka ini tidak menetapkan nilai sumbangan terpulang kepada keikhlasan kita untuk menyumbang berapa yang mampu.

Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih besar ganjarannya daripada yang menerima.

Semoga sumbangan kita akan membantu mereka meringankan sedikit bebanan. Lebih-lebih lagi menjelang sambutan tahun baru 2020 jadikanlah amalan prihatin, pemurah, tidak sombong dan suka bersedekah sebagai azam baharu kita.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru