KUALA LUMPUR: Pada sebarang masa tidak pernah Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato Seri Dr Mujahid Yusof mengeluarkan kenyataan berbunyi “penindasan umat Islam di China sebagai berita palsu”.

Kenyataan ini dipetik daripada Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Kedah Datuk Dr Ismail Salleh di media sosialnya 25 Disember lepas.

Menurut Ismail, laporan tersebut mengelirukan dan tidak benar sama sekali dan tidak pernah diucapkan Mujahid.

Ismail turut kecewa dengan telatah seorang tokoh di Kedah yang mengecam Mujahid menggunakan sumber maklumat yang tidak betul.

Mujahid sebelum ini memang mengadakan lawatan kerja ke China pada 23-30 Jun 2019 membawa isu keamanan, agama, haji dan halal, serta gagasan Rahmatan Lil Alamin bersama-sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pegawai Kementerian Luar.

Lawatan rasmi Mujahid mendapat kelulusan Kabinet dan diberi taklimat Kementerian Luar tentang “do and don’t”.

Menurut Ismail, pendirian Mujahid jelas tentang kebebasan beragama dengan prinsip asas ditekankan, menghormati hak rakyat untuk beragama.

Beliau Menteri dari Malaysia julung kali diberi penghormatan menyampaikan syarahan perdana bertajuk “Towards A Peaceful and Harmonious World” di Beijing Foreign Studies University.

Dalam ucapannya, beliau menyentuh isu hak asasi manusia, terutama melibatkan nyawa seorang manusia tanpa mengira etnik mahupun agamanya.

Umat Islam China terdiri daripada etnik Uyghur dan etnik lain Hui, Kazakh, Uzbeks dan Tajik dengan China mempunyai 20 juta Muslim dan terdapat sekitar 30,000 masjid dengan puluhan ribu imam di situ.

Berhubung gambar kehadiran ke Pusat Latihan dan Vokasional, Mujahid dikatakan dibawa melawat dan diberi taklimat tentang pusat latihan menjalankan latihan perindustrian pelbagai kemahiran seperti menjahit, kelas perundangan, seni gubahan bunga dan setakat itu sahaja.

Ismail berkata, Mujahid bertemu Wang Zuoan, Vice-Minister of United Front Work Department membincangkan pelbagai isu bersama termasuk peluang mengembangkan industri halal Malaysia-China, pengendalian haji serta isu melibatkan imam di China.