Saturday, June 25, 2022

Apa khabar GPS pada 2020?

Secara Rawak

Tinggal 4 hari lagi kita akan meninggalkan Tahun 2019. Tahun 2020 sedia menanti. Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilancarkan pada awal tahun ini begitu komited dalam menyantuni rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai suku etnik. GPS yang terdiri daripada empat gabungan entiti politik tempatan iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP dilihat makin gah dalam melaksanakan agenda pembangunan di bumi kenyalang sepanjang tahun 2019.

GPS yang dibawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terus mara sepanjang tahun 2019 melaksanakan dasar-dasar serta pembangunan yang dapat memberi faedah kepada rakyat Sarawak. Pelbagai projek pembangunan telah dan sedang dilaksanakan di segenap pelosok negeri Sarawak. Malahan masih ada projek-projek pembangunan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan.

Pendekatan serta tindakan GPS yang begitu komited dalam agenda pembangunan memberi isyarat bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang ke – 12 mungkin akan dilakukan tidak lama lagi iaitu tahun hadapan. Gelora serta bahang PRN 12 sudah mula dirasai apabila GPS telah menjelajah ke seluruh pelosok negeri Sarawak sepanjang 2019 bagi memperkenalkan identiti serta logo gabungan tersebut kepada rakyat Sarawak. Pelancaran GPS di peringkat Zon juga rancak dijalankan sepanjang 2019.

Tahap kesiapsiagaan GPS dalam menempuh PRN 12 kelihatan berada pada tahap maksima sekiranya mengambilkira komitmen GPS dalam melaksanakan agenda pembangunan di Sarawak. Kemelut politik yang melanda kem PH juga ternyata memberi kelebihan kepada GPS setakat ini. Persoalannya, adakah PRN 12 akan diadakan pada tahun hadapan apabila GPS yang kini merupakan parti yang mengemudi kerajaan Sarawak mempunyai banyak kelebihan?

GPS yang dilihat ‘menenggelamkan’ parti-parti lain di Sarawak dalam menyantuni rakyat Sarawak sudah pasti dapat menghidu peluang yang cerah dalam mempertahankan posisi sebagai parti politik yang mengemudi kerajaan negeri. PH yang merupakan seteru utama GPS kelihatan jauh ketinggalan di belakang dalam komitmen menyantuni rakyat Sarawak. Ini mungkin disebabkan PH sepanjang tahun 2019 sibuk ‘berpolitik’ sesama mereka.

Kini, GPS harus membuat satu kajian komprehensif bagi mengetahui tahap penerimaan rakyat terhadap identiti serta logo GPS. Ini penting untuk mengesahkan rakyat sudah mengenali logo GPS yang akan digunakan semasa PRN 12 nanti. Malahan melalui kajian yang komprehensif juga dapat membantu GPS membuat penambahbaikkan dasar serta perjuangan parti. Apa yang penting ia juga dapat membantu GPS untuk menyusun strategi yang padu sebelum tirai PRN 12 dibuka.

Pencapaian GPS sepanjang 2019 yang boleh dibanggakan sudah pasti dapat menjadi ‘booster’ kepada sokongan dan dukungan rakyat Sarawak. Komitmen yang mantap ditunjukkan GPS dapat dijadikan salah satu kayu pengukur kepada penerimaan rakyat. Oleh itu satu kajian perlu dilakukan untuk mengetahui tahap sebenar penerimaan rakyat. Adakah rakyat betul-betul menyokong serta menerima GPS setelah pelbagai komitmen ditunjukkan dalam segala perancangan serta dasar yang dilaksanakan?

Apa pun, komitmen yang ditunjukkan oleh GPS sepanjang 2019 adalah jauh lebih baik daripada seteru politik yang lain terutama PH. Tahun 2020 sudah pasti akan menyaksikan GPS lebih rancak dan mantap dalam menyantuni rakyat Sarawak sebelum tirai PRN 12 dibuka. Kelebihan yang ada pada GPS sudah pasti digunakan sebaik-baiknya sebelum PRN 12. Kemelut politik yang melanda PH juga melegakan GPS. Ya, setakat ini GPS mendahului mana-mana parti politik di Sarawak dalam memberi komitmen melaksanakan pembangunan pelbagai aspek kepada rakyat Sarawak sepanjang tahun 2019. Tahniah kepada GPS.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang Sains Politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru