Beberapa tahun lalu, saya telah mengajar dua orang pelajar dari China. Seorang dari Shanghai bernama  Mei Lan. Wataknya agak pendiam dan suka mengasingkan diri mungkin disebabkan pembawaan sebagai seorang anak tunggal. China suatu ketika pernah mengamalkan dasar anak tunggal dalam satu keluarga sebagai satu perancangan keluarga untuk mengawal jumlah penduduk. Seyogia diingat ketika ini, China merupakan negara yang paling padat penduduknya dengan 1.3 bilion jiwa. 

Dianggarkan 250 dan 300 juta kelahiran disekat dari 1978 hingga tahun 2000 dan 400 juta kelahiran dari 1979 hingga 2010.

China secara rasmi menamatkan dasar satu anak pada Disember 2015 selepas melaksanakannya untuk sekalian  lama. Kini semua pasangan berkahwin akan dibenarkan untuk memiliki anak kedua tetapi perundangan masih mengehadkan kelahiran tambahan.

Seorang lagi Aminah, berasal dari Xinjiang, di hujung barat China, dan wilayah terbesar di negeri itu. Berbanding Mei Lan, Aminah, seorang Muslim, agak terbuka dan mempunyai pergaulan yang luas. 

Seperti warga China yang lain, tentunya Aminah mempunyai nama China, tetapi untuk tujuan tulisan ini semua nama asal dirahsiakan.

Xinjiang merupakan daerah autonomi dan seharusnya memiliki pentadbiran dan pemerintahan sendiri. 

Di wilayah ini terdapat kaum Uighur yang kini mencetuskan perhatian dunia disebabkan pelakuan pemerintahan China yang kejam dan tidak adil terhadap mereka. Tetapi tuduhan itu dinafikan keras oleh China.

Jumlah Uighur di China ialah sekitar 11 juta, dengan sebahagian besar terdapat di bahagian barat negara itu.

Beberapa hari lalu,  Fatim, seorang daripada bekas pelajar saya,  di Unimas yang menuntut sekelas dengan Aminah telah menghubungi saya.

Fatim menyatakan seorang rakan sekelasnya, Wiwi, pelajar dari Indonesia, yang juga sekelas dengan Aminah telah berhubung dengan Aminah.

Dalam komunikasi antara Wiwi dengan Aminah, pelajar dari China itu memberitahu, bahawa ayahnya telah dipenjara selama setengah tahun tanpa sebarang alasan oleh pihak berkuasa di China.

“Saya bersembunyi ketika kejadian itu berlaku. Tetapi ayah saya telah ditahan tanpa sebarang alasan hampir setengah tahun. Saya amat sedih,” katanya dalam mesej berkenaan.

Kami tidak dapat mengetahui berita luar negara. Jadi saya tak tahu apa yang media luar perkatakan tentang kejadian sini. Kerajaan ini selalunya berbohong. Rakyat tidak tahu suara yang lain,” katanya.

Aminah juga memberitahu bahawa dia mahu menghubungi saya. 

Aminah pernah membuat Projek Tahun Akhir di bawah seliaan saya.

Seperti lazimnya, saya akan memberi perhatian kepada pelajar luar negara kerana saya percaya ini merupakan cara terbaik untuk mengetahui latar belakang mereka dan negara mereka. 

Ada ketikanya, saya akan bawa mereka makan tengah hari.

Dengan cara itu saya percaya ia menjadi publisiti yang baik untuk universiti tempat saya mengajar.

Saya perhatikan, satu amalan pelajar luar, terutama dari Indonesia ialah, mereka akan membawa buah tangan sebagai tanda penghargaan kepada pensyarah setiap kali mereka balik ke kampus.

Aminah dengan rakannya mempunyai watak yang berbeza. Mei Lan, agak pendiam dan mengasingkan diri manakala Aminah mempunyai banyak rakan dan mempunyai pergaulan yang luas dengan pelajar Malaysia. 

Dia dapat menyerapkan dirinya dalam masyarakat kampus. Namun, kedua-dua pelajar Cina berkenaan telah lulus, termasuk dalam dua mata pelajaran yang saya ajar.

Saya telah terputus hubungan dengan Aminah sejak tiga tahun terakhir. Tetapi dia pernah berjanji untuk berjumpa saya  jika kami sekeluarga berkunjung ke Beijing atau Shanghai walaupun ia memakan masa 26 jam perjalanan dari tempatnya.

Selepas saya menerima mesej berkaitan Aminah beberapa hari lalu, hati saya bimbang mengenang nasibnya dengan keluarga di Xinhiang.

Hati saya bertambah risau apabila melihat gambar dan imej yang beredar melalui Whatsapp yang saya terima berkaitan nasib yang diterima oleh kaum Uyghur. 

Ada yang dipukul teruk di belakang dan diseksa dengan pelbagai cara lain. Tidak mungkin video dan gambar berkenaan berbohong. Tetapi kedutaan China di negara ini telah menafikan bahawa kekejaman sedemikian berlaku terhadap kaum berkenaan.

Menurut Human Rights Watch seperti dipetik BBC, suku Uighur dipantau secara sangat ketat oleh pemerintah.

Mereka harus memberikan sampel biometrik dan DNA. 

“Dilaporkan terjadi penangkapan terhadap mereka yang memiliki kerabat di 26 negara yang dianggap ‘sensitif’. Dan hingga satu juta orang telah ditahan,” kata BBC dalam satu laporan.

Kelompok-kelompok Hak Asasi Manusia berkata, tahanan di kem berkenaan dipaksa belajar bahasa Mandarin dan diarahkan untuk mengecam, bahkan meninggalkan keyakinan iman mereka.

“Sejumlah mantan tahanan mengatakan kepada kami tentang penyeksaan fizikal mahupun psikologis yang dialami di kem-kem tahanan. Seluruh keluarga mereka lenyap, dan mereka mengatakan bahawa para tahanan diseksa secara fizikal dan mental. Kami juga melihat bukti daripada berlangsungnya pengawasan ketat terhadap warga Muslim di Xinjiang,” katanya.

“Sejumlah serangan teroris terjadi selama dekad terakhir, dan pemerintah menuding pemisah di Xinjiang dan sekitarnya adalah pelakunya. Sekitar 200 orang – sebahagian besar warga suku Han-tewas dalam kerusuhan di Urumqi, ibu kota di sana, pada tahun 2009,” katanya.

Pada Februari 2017, terjadi serangan penikaman yang mengorbankan lima orang.

Susulan itu, pemerintah melancarkan gempuran besar-besaran terhadap apa yang mereka sebut sebagai kaum ekstremisme dan pengasingan.

Di Turki empat hari lalu, para penunjuk perasaan memprotes kekejaman China terhadap Uyghur. Mereka memegang sepanduk ‘Hentikan kekejaman’ selain melaungkan ‘China pembunuh, keluar dari Turkistan Timur’ dan ‘Turkistan Timur tidak bersendirian.

Turkistan Timur ialah nama bagi wilayah Xinjiang yang digunakan pelarian Uyghur.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia menganggarkan antara sejuta hingga dua juta etnik Muslim Uyghur ditahan di Xinjiang, dengan alasan kononnya Beijing mahu melaksanakan kempen antipengganas.Ya, saya berdoa Aminah dan keluarganya di Xinjiang, China selamat.

Ya, saya berdoa agar Aminah dan keluarganya selamat daripada segala kejadian buruk dan kekejaman di Xinjiang, China.