KUCHING:  Pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan produk pertanian (CPPC) yang pertama di Sarawak akan memulakan operasinya pada 20 Januari ini.

Pusat  itu yang terletak di Tarat, terletak kira-kira 45 kilometer dari sini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kerajaan Sarawak telah membelanjakan sekitar RM5.6 juta untuk mengubah suai dan menambah baik tempat yang pernah digunakan untuk pemprosesan lada.

Jelas beliau yang juga  Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, sebaik sahaja beroperasi, pusat itu dijangka dapat meningkatkan eksport produk durian dari Sarawak.

“Ia merupakan pusat pertama seumpamanya di bawah Jabatan Pertanian di negeri ini dan firma pengeksport buah tempatan, Top Fruit Sarawak Sdn Bhd, diberi tanggungjawab mengendalikannya,” katanya dalam satu kenyataan berhubung lawatannya ke CPPC berkenaan, semalam.

Uggah berkata pusat itu akan digunakan untuk menghasilkan pulpa dan pes durian yang akan dieksport terus ke China.

Beliau berkata kemudahan di pusat itu memenuhi syarat bagi membolehkannya memperoleh pensijilan Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP), Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan.

Jelas Uggah, para petani di kawasan sekitar Tarat turut dialu-alukan supaya menjual hasil tanaman mereka ke pusat berkenaan.

Uggah berkata,  sebuah lagi pusat seumpama itu sedang dibangunkan di Simpang Layar di Betong.