KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) berkata ia memandang serius penularan surat daripada kementerian itu yang boleh menyebabkan salah faham dalam  kalangan orang ramai.

“KPM ingin memaklumkan bahawa surat tersebut merupakan dokumen pentadbiran antara KPM dengan institusi pendidikan untuk menggalakkan program kepimpinan dalam kalangan murid,” kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Presiden MCA Wee Ka Siong mendedahkan surat Kementerian Pendidikan kepada semua pengarah pelajaran negeri mengenai aktiviti Rakan Siswa Yadim untuk menjalankan aktiviti dakwah di sekolah, politeknik, kolej komuniti, universiti awam dan universiti swasta terpilih.

Wee mempertikaikan mengapa penyebaran agama dicampuradukkan di sekolah.

“Kebenaran untuk menjalankan aktiviti Rakan Siswa Yadim adalah tertakluk kepada kebenaran institusi/sekolah dan terhad kepada murid beragama Islam yang mahu terlibat secara sukarela,” kata kenyataan KPM lagi.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa aktiviti ‘Rakan Siswa’ Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di sekolah dan institusi pengajian tinggi bukan satu langkah Islamisasi.

Katanya, kebenaran untuk menjalankan aktiviti Rakan Siswa Yadim masih tertakluk kepada kebenaran institusi dan sekolah serta terhad kepada pelajar beragama Islam yang ingin terlibat secara sukarela.

“KPM ingin menegaskan bahawa aktiviti ini bukannya langkah Islamisasi dan tidak melibatkan murid bukan Islam serta sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah mubaligh.

“KPM memberi jaminan bahawa Rakan Siswa YADIM bertanggungjawab mematuhi peraturan sedia ada dan prinsip kebebasan beragama bagi murid bukan Islam.

“Pihak sekolah juga diminta memantau dan memastikan aktiviti tersebut tidak sama sekali melibatkan murid yang bukan beragama Islam,” jelas kenyataan  itu lagi.