KUCHING: Ketua Menteri berkata, Sarawak harus sentiasa memerhatikan tiga aspek penting dalam menguruskan ekonomi, iaitu simpanan, perbelanjaan dan pelaburan agar ekonominya sihat dan teguh.

Untuk itu, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus mengambil langkah untuk memastikan pelaburan, perbelanjaan dan simpanan dalam negeri terus kukuh agar negeri ini dapat mengekalkan pertumbuhannya.

Menurut beliau, selain itu,  juga penting bagi menyediakan ekosistem yang betul untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan beberapa program dan inisiatif untuk membantu mengurangkan beban kewangan rakyat, terutama mereka yang kurang berkemampuan,” kata Abang Johari dalam perutusan Hari Krismas  dan Tahun Baharu 2020.

Hari Krismas disambut penganut Kristian pada hari ini dengan kerajaan mengisytiharkannya sebagai hari cuti umum.

Jelasnya, mulai 1 Januari depan, kos sehingga RM5,000 untuk menyambung perkhidmatan talian elektrik ke rumah akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.

Katanya lagi, Kerajaan Sarawak akan menanggung bil air sehingga nilai RM5 mulai tarikh tersebut yang dijangka akan memberi manfaat kepada 600,000 isi rumah di negeri ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan memberi bantuan sebanyak RM450 kepada ibu-ibu yang melahirkan anak bagi meringankan beban kewangan mereka ketika cuti bersalin.

“Amatlah diharapkan bantuan tunai ini dapat meringankan beban kewangan mereka yang perlu membeli pelbagai barangan keperluan selepas bersalin,” jelasnya.

“Dengan segala macam inisiatif yang ada, kita dapat menantikan tahun 2020 dengan penuh optimisme,”  katanya.