KUALA LUMPUR: PAS berpandangan ketidaktegasan pihak berkuasa ke atas Dong Zong telah menyebabkan ia semakin berani, seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan.

Oleh itu, menurut Ketua Penerangannya Kamaruzaman Mohamad, PAS mendesak supaya Ketua Polis Negara mendedahkan segera hasil siasatan ke atas Dong Zong sekali gus memastikan ia membatalkan kongres yang akan diadakan pada 28 Disember 2019.

“Perjuangan Dong Zong sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai dalam masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, PAS konsisten dengan pendirian berkaitan isu-isu yang boleh menggugat keharmonian negara  termasuk Isu berkaitan pengganas LTTE, penyebaran ideologi Komunis dan abu mayat Chin Peng masih lagi belum reda.

Pada 22 Ogos lalu Pengerusi Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim, dipanggil memberi keterangan berhubung siasatan dalam isu pengajaran tulisan Jawi di Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, memaklumkan kes Dong Zong disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan).

Siasatan ini dibuat susulan aduan diterima berkenaan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah satu bentuk islamisasi.

Kata Kamaruzaman, sudah cukup empat bulan Tan Tai Kim dipanggil memberi keterangan namun sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang pendakwaan.

Terkini,  katanya, beliau terus menyatakan bantahan terhadap tulisan Jawi dan akan mengadakan Kongres Pertubuhan China pada 28 Disember 2019 walaupun sudah ditegur Perdana Menteri bahawa kongres ini boleh mencetuskan huru-hara dalam negara.

“Dong Zong adalah pertubuhan yang bersifat keras, melampau dan tiada toleransi, malah sejarah juga pernah menyaksikan pemimpinnya dilucutkan kerakyatan satu ketika dulu,” tegasnya.

Katanya lagi, pelajaran Jawi yang hendak diperkenalkan hanyalah tiga muka surat yang dimasukkan di dalam buku teks dan usaha kerajaan untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.