KUCHING: Berbeza daripada pendekatan yang digunakan oleh PSB, Parti Bumi Kenyalang (PBK), mengambil pendekatan tunggu dan lihat dengan tidak mengumumkan calon untuk pilihan raya negeri akan datang.

Presidennya Voon Lee Shan berkata, PBK mempunyai perancangan sendiri, dan akan mengambil tindakan untuk mengumumkan calonnya pada masa yang sesuai berdasarkan ketentuan dibuat oleh ahlinya.

“Kami tahu pilihan raya semakin dekat, tetapi tidak terdapat keperluan mendesak untuk mengumumkan nama calon untuk ketika ini,” jelasnya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Penganalisis politik berkata, PRN-12 seawal-awalnya akan diadakan pada suku keempat tahun depan dan selewat-lewatnya suku pertama 2021.

Mengenai kerusi yang bakal ditandinginya Voon berkata, ia terpulang kepada PBK untuk menentukannya.

“Saya akan biarkan ahli parti  untuk menentukan kerusi yang sesuai bagi calon yang bertanding,” katanya.

“Jika mereka mahu saya bertanding, saya akan bertanding. Jika saya bertanding, maka parti yang akan menentukan kerusi yang saya tandingi,” ujarnya.

“Parti bukan hak saya; ia hak semua ahli,” jelasnya.

Sebelum ini PSB telah mengumumkan calon untuk kerusi DUN Opar dan Balai Ringin.