KUCHING: Arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyemak semula kadar cukai taksiran pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing bermula tahun hadapan tidak terpakai di Sarawak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian menerusi kenyataannya, menegaskan Sarawak mempunyai autonomi ke atas pentadbiran PBT di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996.

Jelasnya di Sarawak, kadar cukai taksiran tidak meningkat sejak tahun 1970 walaupun kos pemotongan rumput, kutipan sampah dan penyelenggaran lampu jalan meningkat.

Walaubagaimanapun tambah beliau, kabinet negeri telah meluluskan kajian semula cukai taksiran bagi semua bangunan kerajaan termasuk bangunan persekutuan dan negeri.

Jumaat lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin telah mengeluarkan arahan kepada semua PBT untuk jadikan 2020 sebagai tahun penyelarasan penilaian.

Zuraida menyarankan pihak berkuasa tempatan untuk tidak menunggu 20 hingga 30 tahun sebelum meningkatkan penilaian kerana ia akan membebankan PBT, sambil menambah bahawa sebarang kenaikan cukai taksiran bagi pihak berkuasa tempatan tidak akan membebankan rakyat.