KAMPALA: Kecoh di media sosial, apabila tersebar pengakuan lelaki dari Kampala, Uganda, bahawa dia mampu membunuh nyamuk hanya dengan kentutnya.

Bahkan, tabloid The Sun pada 10 Disember lepas menceritakan kisah Joe Rwamirama itu yang mendakwa mendapat tawaran syarikat racun nyamuk untuk mengkaji gas kentutnya itu.

Joe dilaporkan berkata, bau badannya seperti manusia normal lain. Dia mandi dan makan seperti biasa.

“Kentut saya juga seperti orang normal,” katanya.

Menurutnya, gas kentutnya bagaimanapun mampu mematikan nyamuk, bahkan dikatakan jauh lebih berbahaya berbanding bom atom yang jatuh di Hiroshima pada 1945.

Kentut Joe Rwamirama dikatakan mampu membunuh nyamuk…

Joe, 44, mengaku kentutnya mematikan sehingga dalam lingkungan 9 kilometer, justeru dia mendakwa penduduk kampungnya belum pernah terkena malaria.

Ketua kampung turut dilaporkan mengaku mengajak Rwamirama membantunya membasmi nyamuk yang mengganggu penduduk.

Namun, tunggu dulu… pernah dengar penyebaran kisah parodi yang “dihoakskan”…

Baca juga:

Laman sesawang snopes.com mendedahkan kisah Joe dengan kentut pembunuhnya hanyalah parodi atau “hoaks” yang asalnya disebarkan laman Ihlayanews pada 9 Disember dengan tema “nuusparodie waarvan jy hou” bermaksud “parodi baru yang anda suka”.

Ihlayanews berbangga menyebut dirinya sebagai laman parodi yang berisi pelbagai berita satira dan mengaku “semua artikel kami untuk orang dewasa yang suka humor gelap.”

Malangnya, satira ini dihidangkan secara serius oleh Newsbreak dan Talk of Najia, yang menyebabkan kisah parodi ini tersebar dalam pelbagai media arus perdana dunia.

Snopes.com mendedahkan foto yang menampilkan lelaki yang dikatakan sebagai Joe Rwamirama sebenarnya foto Reuters yang diambil pada Julai 2019 perihal “pekerja kesihatan memeriksa suhu badan lelaki berkaitan pemantauan kes ebola di Hospital Goma, Congo.

Newshub antara yang terawal mendedahkan bahawa berita tersebut hanyalah sebuah “hoaks” sehingga New Zealand Herald segera menghapuskan berita tersebut daripada penyiarannya.