LIMBANG: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha menyediakan pembangunan rakyat demi kesejahteraan masyarakatnya termasuk di Daerah Limbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, pembangunan ini bukan sahaja meliputi pembinaan infrastruktur tetapi juga aspek perkhidmatan yang dapat digunakan rakyat bagi menambah pendapatan.

“Di Daerah Limbang, sebanyak tiga lokasi Anjung Usahawan akan dibina di kawasan Palas, Medamit dan Tedungan.

“Kemudahan di ketiga-tiga lokasi ini adalah untuk keperluan penduduk tempatan bagi memasarkan hasil dan produk keluaran tempatan,” katanya di satu majlis.

Pada majlis itu, Paulus menyampaikan cek geran berjumlah RM811,000 kepada 94 penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan institusi keagamaan seperti gereja dan surau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Limbang Hasbi  Habibollah meminta penduduk kampung supaya tidak terlalu mempercayai maklumat di dalam media sosial yang belum pasti kebenarannya.

“Sebaliknya, penduduk perlu memastikan maklumat dan berita yang diperolehi dari media sosial mempunyai sumber yang relevan dan boleh dipercayai.

“Justeru, penduduk perlu menilai dan menganalisis  maklumat terlebih bagi memastikan maklumat yang terdapat di dalam media sosial ini boleh dipercayai,” ujarnya.