Monday, June 27, 2022

Syarikat MyCar gantung akaun pemandu biadab

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Syarikat perkhidmatan e-hailing MyCar mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemandunya yang didakwa bersikap kurang sopan terhadap penumpang ekoran kejadian itu tular di media sosial pada Selasa lalu.

Ketua pegawai eksekutifnya MyCar, Mohd Noah Maideen, berkata akaun pemandu tersebut digantung atas kesalahan serius setelah pihaknya menghubungi pemandu dan penumpang terbabit bagi mendapatkan keterangan mengenai isu tersebut.

“Hasil perbincangan, isu itu berjaya diselesaikan secara baik dan akaun MyCar pemandu itu telah digantung.

“Pihak penumpang juga mengeluarkan kenyataan dan ciapan bahawa isu itu telah diselesaikan secara berhemah oleh pihak MyCar,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh penumpang berkenaan.

Pada Selasa lepas, sebuah portal tempatan melaporkan dakwaan penumpang wanita yang mendakwa pemandu MyCar bersikap biadab dan tidak menunjukkan layanan sepatutnya kepada pelanggan menerusi ciapannya di Twitter.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru