ANDA mungkin ada pengikut tegar di media sosial tetapi adakah perhatian yang diberi kepada anda mampu menjana pendapatan?

Ryan Kaji – anak pasangan ibu berbangsa Vietnam dan bapa Jepun dari Cypress, Texas, Amerika; baru berumur lapan tahun tetapi kini dinobat individu paling tinggi pendapatan di saluran YouTube bagi tahun 2019.

Tanpa membanting tulang atau memeras kepala, Ryan terkenal dengan aksi video membuka pakej berisi permainan.

Saluran YouTube yang diberi nama Ryan Toys Review diwujudkan oleh ibunya Loan Kaji – nama sebenar Nguyen Thi Kieu-Loan, bekas guru sains pada 2015.

Pada awal kewujudan, Ryan Toys Review hanya memaparkan aksi Ryan membuka kotak mainan, dilengkapkan dengan komen berserta latar belakang muzik.

Amat menakjubkan, memandangkan ada video Ryan Toys Review yang menarik satu billion tontonan.

Ryan Toys Review sekarang dikenali sebagai Ryan’s World; wujud sebagai saluran kanak-kanak dengan 23 juta pelanggan.

Pengaruh Ryan menarik perhatian Badan Perdagangan Amerika (US Federal Trade Commission – FTC) ekoran pengakuan ada jenama yang membayar untuk muncul di Ryan Toys Review.

Setakat ini belum ada laporan FTC sudah mengambil tindakan ekoran aduan yang dibuat badan pengawasan pengguna Truth in Advertising.

Badan pengawasan itu mendesak agar pengunjung saluran berkenaan perlu diberi kesedaran bahawa barangan permainan yang dimuatkan dalam saluran Ryan Toys Review itu adalah kandungan berbayar.

Ini memandangkan pengunjung laman Youtube Ryan itu kebanyakannya dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun.

Pengikut yang ramai dimanfaatkan sepenuhnya oleh ibu bapa Ryan yang kini menggunakan populariti anak mereka untuk mewujudkan produk dan jenama sampingan (spin-off).

Ini termasuk usaha penerbitan, permainan sampingan makanan segera, video pendidikan, kelengkapan bilik tidur kanak kanak dan tidak ketinggalan – permainan video kanak-kanak.

Majalah Forbes menganggarkan keluarga Ryan meraih hampir AS$22 juta setahun melalui usaha penjenamaan dan pemasaran hasil populariti Ryan’s World.