Monday, January 24, 2022

PSB agresif tetapi tak progresif

Secara Rawak

Parti Sarawak Bersatu (PSB) semakin agresif tetapi tidak progresif. PSB merupakan parti politik pertama yang mengumumkan beberapa calon untuk masuk gelanggang pertarung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke–12 nanti.

Ini merupakan satu percaturan yang padu dengan membuat pengumuman awal bakal calon yang bertanding. Pendekatan ini tepat bagi memastikan calon yang telah dipilih dapat menyusun strategi untuk menyumbang kemenangan kepada parti.

Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dikenalpasti serta diumumkan calon-calon yang bertanding pada PRN 12 nanti ialah N.1 Opar, N.2 Tasik Biru dan N.30 Balai Ringin.

Ketiga-tiga DUN ini menyaksikan PSB mengemukakan para otai bagi memastikan kemenangan boleh berpihak kepada mereka. Adakah calon-calon otai ini boleh menyumbang kemenangan kepada PSB?

N.1 Opar menyaksikan Datuk Ranum Mina diberi kepercayaan oleh PSB untuk mempertahankan kerusi yang telah dimenangi beliau beberapa penggal sebelum ini.

N.2 Tasik Biru menyaksikan seorang otai politik iaitu Datuk Dr Tiki Lafe turut diberi kepercayaan oleh PSB untuk menggugat kerusi GPS daripada PDP. Dr Tiki Lafe merupakan bekas Ahli Parlimen Mas Gading tiga penggal serta bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa rejim BN dahulu.

Bagi N.30 Balai Ringin, Masir Kujat telah diberi kepercayaan oleh PSB bagi menggugat dominasi PRS yang merupakan salah satu parti komponen dalam GPS. Masir yang merupakan Ahli Parlimen Sri Aman yang menang bertanding pada PRU 14 lepas atas tiket PRS telah keluar daripada PRS dan memilih PSB sebagai wadah politik beliau.

Adakah pemilihan Masir ini merupakan satu pilihan tepat bagi PSB di Balai Ringin?

Pemilihan para otai ini mungkin disebabkan mereka masih relevan dalam kalangan penduduk di akar umbi. Namun begitu, PSB sebagai sebuah entiti politik yang baharu perlu lebih progresif dalam pendekatan mengemukakan calon yang bertanding.

PSB harus mengambil langkah yang progresif dengan mengemukakan calon-calon muda dalam PRN 12 nanti.

Persoalannya, adakah tiada orang muda yang bersama dengan PSB?

Sekiranya ada golongan muda dalam PSB, adakah mereka tidak layak untuk diberi peluang bertanding dalam pilihan raya?

PSB harus berpandangan jauh sekiranya parti serpihan SUPP yang sebelum ini dikenali sebagai UPP ingin terus kekal relevan dalam pentas politik Sarawak. Gandingan otai dan golongan muda harus diketengahkan oleh PSB agar dapat menarik sokongan dan dukungan rakyat di Sarawak.

Malahan, pemerkasaan golongan muda harus lebih diutamakan oleh PSB serta mana-mana parti politik. Difahamkan bahawa PSB telah mengenalpasti calon-calon yang bakal bertanding dalam PRN 12 nanti adalah majoriti dalam kalangan para pesara kerajaan. Sekiranya ini benar, PSB dilihat tidak mengambil pendekatan yang progresif dalam parti.

Apa yang amat jelas ditunjukkan PSB dengan mengumumkan awal calon-calon yang bertarung dalam pentas PRN 12 nanti merupakan amaran kepada parti politik lain termasuk GPS dan PH bahawa PSB memang bersedia untuk mendapatkan mandat daripada rakyat.

PSB yang sudah pasti akan bertanding bagi kesemua kerusi Dayak dan Cina di Sarawak memberi ancaman kepada parti komponen dalam GPS terutama SUPP, PRS dan PDP. Tindakan PSB ini tidak memerlukan saintis untuk menganalisis apakah tujuan PSB ini sebenarnya dalam PRN 12 nanti.

Apa pun, pendekatan PSB mengumumkan calon yang bertanding lebih awal bagi sesebuah kerusi DUN adalah satu strategi politik yang tepat dalam memastikan seseorang calon itu dapat dikenali oleh masyarakat di akar umbi.

Kini, terpulang kepada calon yang telah dipilih serta diumumkan untuk mengatur strategi politik yang boleh memastikan kemenangan dapat berpihak kepada mereka. Adakah calon-calon yang telah diumumkan serta bakal diumumkan oleh PSB mempunyai sengatan berbisa? Persoalan ini boleh dirungkai dengan lebih mendalam.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang Sains Politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru