KUALA LUMPUR:  Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan jika perbelanjaan sektor swasta juga menjadi sifar atau bertukar negatif maka ekonomi Malaysia akan mengalami krisis.

Menurut beliau, ini kerana katanya ekonomi negara sekarang hanya bergantung kepada perbelanjaan sektor swasta yang mana ia adalah antara satu dari sektor-sektor utama ekonomi.

Dalam masa yang sama  sektor ekonomi lain sudah jatuh ke tahap hampir sifar atau bertukar menjadi negatif.

“Pelaburan swasta hampir sifar (0.3% dalam suku ke-3). Perbelanjaan awam hampir sifar (1%),” katanya melalui kenyataan di Facebooknya.

“Pelaburan awam sudah negatif (-14.1%). Eksport negara negatif (-6.7%, Okt). Import juga negatif (-8.7%, Okt),” kata bekas Menteri Kewangan itu lagi.

Menurut Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu,  dalam data Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks perdagangan borong dan runcit ialah petunjuk utama untuk perbelanjaan sektor swasta.

“Namun, ‘trend’ penurunan ketara dalam indeks perdagangan domestik jelas kelihatan sejak PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14),” katanya.

“Ramai rakyat Malaysia terutamanya daripada golongan pesara bergantung kepada dividen ASB untuk perbelanjaan mereka,” ujarnya..

“Sebab itu, dividen ASB yang sekali lagi paling rendah dalam sejarah akan memberi impak besar kepada perdagangan borong dan runcit Malaysia,” katanya sambil menambah risiko terhadap ekonomi Malaysia sudah bertambah.

PNB mengumumkan dividen dan bonus 5.05 peratus untuk ASB dua hari lalu.