LAWAS: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata kemudahan kredit mikro akan dilaksanakan pada tahun depan. 

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan  melancarkan kemudahan kredit mikro pada tahun depan dengan peruntukkan sebanyak RM30 juta,” katanya. 

Kemudahan itu diumumkan  Kerajaan Sarawak dalam Belanjawan 2020  awal November lalu

“Bank Agro dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan bekerjasama dalam menyediakan kemudahan ini yang akan memberi pinjaman mudah kepada mereka yang akan melibatkan diri dalam bidang perusahaan sebagai modal,” ujarnya. 

Awang Tengah yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Projek Surau Kampung Serdang, Lawas anjuran Pejabat Daerah Lawas dan Jabatan Kerja Raya Daerah Lawas pada Isnin. 

Media melaporkan sebelum ini bahawa Skim Kredit Mikro Sarawak menawarkan pinjaman maksimum sehingga RM50,000 untuk setiap pemohon.

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Industri Terminal dan Keusahawanan Datuk Mohd Naroden Majais  dipetik berkata skim itu adalah untuk usahawan di Sarawak.

“Bagi mereka yang memohon pinjaman RM10,000, yuran pentadbiran sebanyak dua peratus akan dikenakan manakala untuk pinjaman lebih RM10,000, ia berdasarkan penurunan kadar faedah,” kata beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 7 November.

Beliau berkata usahawan di Sarawak termasuk dalam industri kotej boleh memohon skim itu secara dalam talian dan proses kelulusan akan mengambil masa antara dua minggu dan 30 hari.