KUALA LUMPUR: Kementerian Luar merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada Republik Filipina susulan kejadian gempa bumi yang melanda negara itu.

“Kementerian ingin menyampaikan rasa simpati dan takziah kepada kerajaan dan rakyat Republik Filipina, khususnya kepada mereka yang terjejas berikutan gempa bumi itu, “ kata kementerian itu dalam satu kenyataan malam tadi.

“Malaysia berdiri teguh dalam semangat setia kawan dengan Filipina dalam suasana yang mencabar ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Katanya, Wisma Putra tidak menerima sebarang laporan mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas dalam gempa bumi berukuran 6.9 magnitud di Polomolok, Selatan Cotabato, Filipina, pada Ahad.

Kementerian itu menasihati rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular untuk menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City di +63 82 221 4050 atau +63 936 968 4001.

Media melaporkan gempa bumi  yang melanda Davao semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, selain menyebabkan ada penduduk cedera dan bangunan musnah.

Kawasan itu turut digegarkan gempa bumi pada Oktober dan November lalu yang mengorbankan  sekurang-kurangnya 20 orang kesemuanya.