KUCHING: Bilakah penderitaan pengguna yang mengharungi kesesakan di Jalan Tun Razak-Jalan Foochow di sini akan berakhir?

Kadangkala kesesakannya sehingga mencapai tiga kilometer pada waktu puncak sebelah pagi dan petang.

Ini sekali gus menyebabkan para pemandu dan pengguna jalan raya berkenaan mengeluh, dan mereka mahu masalah itu segera diselesaikan.

Prihatin akan masalah dihadapi pengguna jalan raya itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Tan Kai semalam melihat sendiri keadaan kesesakan lalu lintas di laluan itu.

Justeru, beliau menggesa Adun Pending Violet Yong Wui Wui agar memberitahu tarikh siap kerja penambahbaikan jalan berkenaan.

“Kerja menaik taraf di persimpangan lampu isyarat menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk,” kata Tan Kai.

“Kenderaan terperangkap dalam kesesakan di jalan raya sekitar tiga kilometer,” jelasnya.

Sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab, Violet, katanya, sepatutnya memberitahu orang ramai tarikh baharu siapnya projek tersebut.

Beliau menegaskan, menjelang akhir tahun dan awal tahun, banyak perayaan akan disambut, termasuk Hari Krismas yang bakal menjelang tiba.

Jika kerja terbabit tidak siap, katanya, ia akan membebankan pengguna jalan raya di laluan itu.